KUALA LUMPUR – Pengambilan makanan tidak bernutrisi terutamanya oleh ibu hamil dikhuatiri boleh menyebabkan bayi yang bakal dilahirkan berdepan risiko menjadi bantut.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, peningkatan kos sara hidup serta keengganan mengikut jadual rawatan dikenal pasti antara faktor yang menyumbang kepada tabiat kurang sihat itu.
Beliau menambah, lebih membimbangkan, kanak-kanak yang bantut juga berisiko mengalami obesiti.
“Saya juga bimbang dengan keadaan kos kehidupan yang semakin meningkat, seperti harga beras. Makanan yang mempunyai nutrisi ini, harganya meningkat.
“Ia menyebabkan ibu bapa memilih untuk mendapatkan makanan yang murah.
“Ibu yang sedang hamil juga tidak mengambil nutrisi yang baik, bagi memastikan anak lahir dengan sihat dan tidak terbantut,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Lukanisman menjawab soalan tambahan Datuk Alias Razak (PN-Kuala Nerus) berhubung usaha kerajaan membasmi masalah bantut dalam kalangan kanak-kanak di negara ini.
Beliau memberitahu, masalah bantut bukan sahaja melibatkan golongan berpendapatan rendah malah data Kementerian Kesihatan menunjukkan Putrajaya yang mempunyai ramai golongan berpendidikan tinggi adalah antara kawasan yang mencatatkan jumlah individu bantut tertinggi.
“Golongan ini mengambil langkah mudah, kerana kesibukan dan perkembangan kerjaya lebih meluas, pemilihan makanan lebih kepada makanan segera, diberikan kepada kanak-kanak,” jelasnya.
Lukanisman turut berkongsi mengenai kerjasama komuniti yang dilaksanakan di sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina di Muar di mana ibu bapa bersama-sama menyediakan makanan yang berkualiti dan bernutrisi kepada murid-murid.
“Kaedah ini sangat baik daripada sekiranya kita bergantung kepada Rancangan Makanan Tambahan (RMT). Kadangkala ada pengusaha berikan sosej dan nasi,” katanya. – MalaysiaGazette