Nik Nazmi Nik Ahmad
Nik Nazmi Nik Ahmad

KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim mengakui pelaksanaan projek-projek besar termasuk rancangan tebatan banjir perlu mengambil masa lama untuk disiapkan bagi tempoh jangka masa panjang.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ini kerana ia bukan sahaja melibatkan projek kejuruteraan yang utama malah proses pengambilalihan tanah juga menjadi faktor kepada tempoh pelaksanaan projek tebatan itu.

“Bagi projek tebatan banjir, ini adalah projek-projek besar iaitu major engineering project (projek kejuruteraan utama) di mana kadang-kadang memerlukan proses pengambilan tanah itu. Kos bukan sahaja besar tetapi proses pengambilan tanah yang kita bekerja sama dengan kerajaan negeri untuk dilakukan itu juga memakan masa yang panjang.

“Dan seterusnya untuk mulakan projek itu pun satu proses yang mungkin dua tiga tahun atau lebih. Itu semua kita sudah maklumkan daripada awal. Jadi saya faham tentulah di peringkat penduduk kampung dan sebagainya dalam keadaan mereka tentu risau tiap-tiap musim banjir dan sebagainya tetapi bila projek ini dibuat akan ambil makan masa untuk kita cuba cari penyelesaian yang lebih berjangka masa panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat di sini hari ini bagi menjawab soalan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) mengenai projek tebatan banjir berhubung kebimbangan penduduk di kawasan Parlimennya terhadap isu banjir setibanya musim monsun timur laut.

Siti Zailah berkata, pam yang dibekalkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) masih tidak mampu untuk menangani bencana itu sehingga terus berlaku banjir.

Oleh yang demikian, Siti Zailah mahu mendapatkan penjelasan kerajaan mengenai status pelaksanaan projek tebatan banjir di kawasan Parlimennya yang belum dimulakan kerana dikatakan pada masa ini masih di peringkat tender.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi menambah, antara perkara yang diambil maklum pengairan dan saliran ke atas banyak projek infrastruktur baru kerana sebahagiannya melibatkan  perubahan iklim.

“Maksudnya dulu kita kata boleh baik, 50 tahun banjir paling teruk, kita tambah sehingga tempoh 100 ke 200. Kalau di Belanda sudah jadi perkara biasa namun kita akan cari penyelesaian jangka masa panjang tentang masalah ini. – MalaysiaGazette