KUALA LUMPUR – Belum ada individu dipenjarakan akibat melakukan kesalahan berkaitan cermin gelap sejak peraturan baharu berkaitan cermin gelap yang diwartakan Kementerian Pengangkutan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan pada Mei 2019.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, isu dipenjarakan timbul akibat salah faham di kalangan pengguna media sosial berikutan kenyataan dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) baru-baru ini.
Jelas beliau, ia membuat orang ramai menggambarkan seolah-olah individu yang melakukan kesalahan tersebut boleh dihukum penjara.
“Itu sebenarnya tak betul. Memang dari segi undang-undang, sekiranya mana-mana pihak yang tidak mengikuti peraturan jalan raya, apabila mereka diberikan peluang untuk kompaun, mereka tidak bayar kompuan, maka mereka boleh dibawa ke mahkamah.
“Itu adalah general (biasa) untuk semua peraturan, bukan dari segi penggunaan cermin gelap sahaja. Tetapi pada hakikatnya apa yang dilaksanakan adalah kompaun.
“Saya harap penjelasan ini dapat meleraikan atau memberikan satu penerangan kepada orang ramai bahawa tidaklah sampai kerajaan nak memenjarakan orang sekiranya menggunakan cermin gelap,” katanya.
Loke menambah, pemilik kenderaan yang melanggar peraturan cermin gelap akan dikenakan kompaun terlebih dahulu.
“Itu merupakan satu peraturan umum yang boleh dikenakan sehingga denda termasuk tidak melebihi RM2,000 atau penjara enam bulan,” katanya.
Menurutnya, Kementerian Pengangkutan melalui JPJ pada Mei 2019 telah memperkenalkan peraturan baharu mengenai pemakaian cermin gelap kepada kenderaan persendirian.