Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Kerajaan menjangka akan menanggung perbelanjaan subsidi diesel secara purata melebihi RM1 bilion sebulan atau RM14 bilion tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, unjuran perbelanjaan itu dibuat berdasarkan senario semasa.

“Jumlah keseluruhan subsidi yang telah ditanggung oleh kerajaan ke atas produk diesel bagi 2018 sehingga 2022 melebihi RM35 bilion.

“Daripada jumlah ini, sebanyak RM3.9 bilion dibelanja untuk super subsidi diesel sektor perikanan dan hampir RM1 bilion bagi pengangkutan awam.

“Bagi sektor kenderaan barangan, harga super subsidi tidak diperuntukkan memandangkan harga belian diesel sama dengan harga runcit diesel di stesen minyak,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Wong Shu Qi (PH-Kluang) meminta kerajaan menyatakan jumlah subsidi diesel yang dibelanja setiap tahun bermula 2018 sehingga kini.

Subsidi tersebut termasuk sektor perikanan, kenderaan perdagangan dan persendirian.

Beliau juga mahu kerajaan memberi pencerahan akan impak kepada kedudukan kewangan negara jika subsidi diesel diteruskan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, tujuan pemberian subsidi itu adalah bagi mengelak pengguna terkesan dengan kenaikan harga pasaran sebenar produk petroleum di peringkat global.

“Ketika ini, harga jualan runcit diesel ditetapkan pada kadar RM2.15 seliter ketimbang harga pasaran iaitu RM3.75 seliter,” katanya. – MalaysiaGazette