Special Branch defamation suit pontianak false claims

JAKARTA – Ketua eksekutif dan tiga pegawai lain sebuah firma Indonesia dijatuhkan hukuman penjara selepas ubat batuk syarikat itu dikaitkan dengan kematian lebih 200 kanak-kanak.

Mereka dijatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda 1 bilion rupiah Indonesia (AS$63,056)

Firma itu, Afi Farma, didakwa mengeluarkan sirap batuk yang mengandungi lebihan bahan toksik.

Peguam syarikat itu berkata, mereka menafikan kecuaian dan firma itu sedang mempertimbangkan untuk membuat rayuan.

Pendakwa raya memohon hukuman penjara sehingga sembilan tahun untuk ketua eksekutif Afi Farma, Arief Prasetya Harahap, dan tujuh tahun masing-masing untuk defendan lain.

Pendakwa Raya berkata, antara Oktober 2021 dan Februari 2022 syarikat itu menerima dua kelompok propilena glikol, yang digunakan untuk membuat sirap batuk.

Ia mengandungi 96% hingga 99% etilena glikol, kata pendakwa.

Kedua-dua bahan boleh digunakan sebagai bahan tambahan kepada pelarut.

Walaupun, propilena glikol tidak toksik dan digunakan secara meluas dalam ubat-ubatan, kosmetik dan makanan tetapi etilena glikol adalah toksik dan digunakan dalam cat, pen dan cecair brek.

Syarikat itu didapati tidak menguji bahan yang digunakan dalam sirap batuk dan sebaliknya bergantung pada sijil kualiti dan keselamatan daripada pembekalnya, kata pendakwa raya.

Peguam Afi Farma, Samsul Hidayat, pula berkata, pengawal selia dadah Indonesia tidak memperuntukkan pembuat ubat untuk menjalankan ujian ketat terhadap ramuan.

Hakim di Mahkamah Daerah Kediri, Jawa Timur, mendapati keempat-empat defendan bersalah kerana dengan sengaja mengeluarkan barangan farmaseutikal yang tidak memenuhi standard keselamatan.

Sejak 2022, lebih 200 kanak-kanak Indonesia, yang kebanyakannya berumur di bawah lima tahun, telah meninggal dunia akibat masalah buah pinggang akut yang dikaitkan dengan sirap batuk yang tercemar.

Kira-kira 100 kematian telah dilaporkan di Gambia dan Uzbekistan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengeluarkan amaran mengenai enam sirap batuk yang dibuat di India dan Indonesia. – Agensi