KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen pembangkang hari ini menyuarakan rasa kesal apabila terdapat menteri yang tidak menunjukkan keseriusan untuk hadir persidangan Dewan Rakyat bagi menjawab soalan yang dikemukakan.
Ahli Parlimen Alor Star, Afnan Hamimi Taib Azmudden berkata, isu itu perlu dipandang serius kerana ketiadaan menteri termasuk timbalannya menyebabkan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ramli Md Nor terpaksa menangguhkan soalan yang telah ditetapkan nombor gilirannya kepada soalan nombor lain.
Beliau berkata, berdasarkan Peraturan Mesyuarat, ketika Yang Di-Pertua menjemput mengikut susunan soalan yang ditanya oleh Ahli Parlimen, menteri perlu ada dan sekiranya tidak dapat hadir, timbalan menteri boleh mengambil alih tugas itu.
“Dalam kes tadi, menteri luar negeri dan timbalan menteri tidak ada dalam dewan, ketika sampai soalan itu ditanya, jadi terpaksa Speaker terpaksa tangguhkan soalan itu kepada giliran yang lain.
“Walaupun Speaker ada budi bicara, tapi yang hendak ditekankan di sini kegagalan menteri hadir tepat pada masa. Timbalan menteri tidak hadir juga. Soalan itu boleh juga dijawab oleh mana-mana menteri dan timbalan lain, tetapi tidak diberikan kepada menteri atau timbalan menteri yang lain dan Menteri Luar dan timbalannya pula tidak ada di dalam dewan ketika soalan ditanya,” katanya pada sidang media di Parlimen, di sini, hari ini.
Turut hadir Ahli Parlimen Padang Terap, Nurul Amin Hamid.
Minggu lalu, seorang lagi Ahli Parlimen pembangkang, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin turut terkilan apabila Menteri dan Timbalan Menteri Kesihatan tidak hadir untuk menjawab soalan yang dikemukakannya pada Sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat.
Jawapan soalan untuk Kementerian Kesihatan, sebaliknya dijawab oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), K. Saraswathy.
Mengulas lanjut, Afnan Hamimi berkata, insiden sama turut berlaku di kamar khas semalam apabila soalan yang patut dijawab oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) tentang Orang Asli yang ditanya oleh Ahli Parlimen Bentong namun dijawab adalah timbalan menteri pengangkutan.
“Ini kerana menteri dan timbalan menteri tidak hadir dalam kamar khas. Walaupun ada teks yang boleh dibaca, ini menunjukkan ketidakseriusan.
“Saya tengok menteri dan timbalan dalam Kabinet hari ini tidak bersungguh untuk hadir menjawab dengan sendiri. Ada beberapa orang menteri lain yang yang mereka hadir sepanjang sesi Parlimen dan itu tidak dinafikan tetapi kebanyakan mereka seperti hari ini dan semalam di kamar khas tidak bersungguh untuk menjawab soalan isu-isu yang dibangkitkan di Parlimen.
“Kalau Parlimen sebagai institusi tertinggi negara mereka tidak beri perhatian serius, apa lagi yang kita mahu dari menteri Kabinet untuk bawa suara rakyat.
“Kita draf soalan dan ikut Peraturan Mesyurat dan urusan yang ditetapkan oleh Parlimen tetapi kenapa mereka tidak boleh patuh. Berlaku juga pada sesi lepas, timbalan menteri pendidikan tidak dapat jawab soalan daripada Ahli Parlimen Pengkalan Chepa.
“Sedangkan beliau ada dalam dewan walaupun kes ini lain, tapi bila ditanya tiada jawapan. Kes hari ini, jawapan mungkin sudah ada tetapi menteri tiada dalam dewan,
“Baru-baru ini masa penggulungan dasar KKDW, timbalan menteri yang jawab hingga beliau tiada suara dan dinasihat hentikan sesinya lebih awal. Mana menteri? Ini hal dasar. Menteri adalah Ahli Kabinet dan timbalannya bukan ahli Kabinet. Ini kami persoalkan pada hari ini, apa yang sebenarnya berlaku dan minta penjelasan daripada Perdana Menteri dan Kabinet,” katanya. – MalaysiaGazette