KUALA LUMPUR – Sejumlah 50 tan barang-barang bantuan kemanusiaan bernilai RM7 juta akan dihantar ke Mesir menerusi Ops Ihsan bagi disalurkan kepada rakyat Palestin yang terkesan akibat kekejaman Zionis.
Pengerusi Sekretariat Ops Ihsan, Jismi Johari berkata, ia merupakan misi penghantaran pertama yang dilakukan oleh Malaysia dan merupakan cetusan idea Kementerian Luar.
Katanya, kesemua barangan yang dikumpul diperoleh melalui beberapa pusat pengumpulan di sekitar Lembah Klang sebelum dihantar ke pusat operasi utama di Gudang Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM).
“Barang-barang ini akan diterbangkan ke Al-Arish, Mesir melalui pesawat kargo sewaan khas dan dibiayai kerajaan Malaysia.
“Barangan kemanusiaan ini dibawa masuk ke Gaza melalui sempadan Rafah melalui kerjasama dengan Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir,” katanya pada sidang di sini, hari ini.
Jismi berkata, operasi dua hari pada Sabtu dan Ahad lepas melihat penglibatan 800 orang sukarelawan dari pelbagai lapisan masyarakat yang menyumbang kudrat dalam membantu urusan penerimaan, pengasingan, pengumpulan data sehingga kepada penyusunan barangan di dalam kotak-kota yang telah disediakan.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, penghantaran pertama sumbangan berbentuk ubatan dan barangan keperluan sebanyak 20 tan dengan pesawat kargo melalui Pengkalan Udara Subang.
“Ini adalah usaha yang amat baik dan dinanti-nantikan untuk semua NGO bekerjasama dan bergerak selari dengan hasrat kerajaan dalam aspek penyegeraan penyaluran bantuan kemanusiaan di mana-mana tempat, keadaan dan masa.
“Muafakat kerja di bawah Ops Ihsan ini telah menghasilkan perhimpunan yang amat bermakna untuk Malaysia menzahirkan kata-kata semangat dan sokongan padu ke atas perjuangan rakyat Palestin,” ujarnya. – MalaysiaGazette