Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menggesa kerajaan meminda Akta Audit 1957 sebagai langkah pemerkasaan jawatankuasa tersebut.

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa meminda Akta Audit 1957 sebagai langkah memperkasakan peranan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi membolekan membuat permohonan kepada Jabatan Audit Negara (JAN).

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, pindaan juga perlu dilaksanakan  bagi mengaudit secara terus ke atas mana-mana pihak yang menerima dana daripada kerajaan apabila diperlukannya.

Beliau turut mengakui, PAC ketika ini berdepan kekangan dan tiada kuasa meminta JAN berbuat demikian ke atas kementerian, agensi atau jabatan kerana peruntukan undang-undang yang termaktub dalam akta berkenaan.
“Ini adalah kekangannya kerana jika PAC mahu JAN melaksanakan pengauditan kepada mana-mana pihak yang terima dana kerajaan terutama jika isu berkenaan tidak dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN), PAC perlu memohon kepada Ketua Audit Negara dan Kementerian Kewangan dan Jabatan Perdana Menteri.
“Ia tertakluk pada budi bicara mereka untuk membenarkan JAN melaksanakan pengauditan bagi pihak PAC.

“Selaras dengan kuasa yang diberi kepada PAC, sememangnya kami menumpukan kepada isu dalam pentadbiran kerajaan yang mempunyai unsur 3P1K (pembaziran, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa serta ketirisan).

Turut hadir lapan ahli PAC yang lain.

Sebelum ini, Mas Ermieyati pernah menggesa supaya prosiding PAC dapat dijalankan secara terbuka dan disaksikan oleh orang awam.

Gesaan itu sebagai antara langkah pembaharuan dan reformasi institusi Parlimen khususnya dalam PAC.

Pada 14 September lalu, Mas Ermieyati memberitahu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul tidak mahu pelaksanaan prosiding secara terbuka dijadikan amalan buat masa ini. – MalaysiaGazette