KUALA LUMPUR – Panduan bagi Pasaran Modal Islam Malaysia berasaskan prinsip Maqasid Al-Syariah yang baharu dilancarkan dijangka dapat merealisasi dan mengukuhkan potensi penuh pasaran modal Islam di Malaysia, sekali gus memantapkan kedudukan negara ini sebagai peneraju dalam ekonomi Islam global.
Timbalan Menteri Kewangan 1 Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, panduan itu akan menjadi penyelesaian terhadap pelbagai cabaran dan peluang dalam pasaran dengan menekankan substance berbanding bentuk.
“Kod amalan ini akan diguna pakai oleh penasihat syariah dan pemain industri berkenaan dengan pelbagai jenis produk dan perkhidmatan pasaran modal Islam.
“Pelancaran panduan baharu ini adalah ideal dan tepat pada masanya, dan saya berharap semua pemain industri kewangan Islam menerima panduan ini dan menggunakannya untuk memartabatkan produk patuh syariah demi kesejahteraan rakyat,” katanya ketika melancarkan panduan itu di Persidangan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC)-Bank Dunia di sini hari ini.
Panduan itu dibangunkan oleh SC menerusi penglibatan ahli-ahli Majlis Penasihat Syariahnya dan pelbagai pihak berkepentingan domestik dan antarabangsa serta menjadikannya penanda aras dengan pelbagai amalan terbaik antarabangsa.
Pengerusi SC Datuk Seri Awang Adek Hussin berkata, panduan itu bertujuan untuk meningkatkan lagi ketulenan ekosistem tempatan berdasarkan semangat sebenar kewangan Islam.
“Memandangkan Malaysia diiktiraf secara meluas sebagai peneraju pemikiran global pasaran modal Islam, kami membayangkan panduan ini akan menjadi dokumen rujukan berharga untuk pemain industri,” katanya.
Turut hadir ialah Dr Ndiame Diop, Pengarah Negara Kumpulan Bank Dunia bagi Brunei, Malaysia, Filipina dan Thailand.
Melangkah ke hadapan, Awang Adek berkata, prospek untuk pasaran modal Islam kekal menggalakkan dengan asas yang kukuh.
“Kami percaya sekarang adalah penting untuk menyelami lebih dalam objektif Islam secara menyeluruh untuk terus menggalakkan pertumbuhan ekonomi Islam.
“Ini termasuk menggalakkan amalan beretika dan mampan, di samping memastikan amalan ekonomi benar-benar selari dengan Quran dan Sunnah,” katanya.
Awang Adek berkata, objektif khusus yang digariskan dalam panduan itu adalah selaras dengan enam aspirasi utama yang sesuai dalam konteks pasaran modal Islam.
Enam aspirasi itu ialah kemanusiaan, keadilan dan kebajikan; kejelasan dan ketelusan; fleksibiliti dan inovasi; tanggungjawab dan akauntabiliti; serta kebolehcapaian dan keterangkuman, katanya.
Beliau menambah lima institusi kewangan Islam, iaitu Bank Islam Bank Bhd, CIMB Islamic Bank Bhd, HSBC Amanah Malaysia Bhd, Maybank Islamic Bhd, dan Standard Chartered Saadiq Bhd, komited untuk menerima pakai panduan dalam Penyataan Syariah mereka berkenaan dengan pelbagai jenis produk dan perkhidmatan pasaran modal Islam. – BERNAMA