KUALA LUMPUR – Perbincangan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) bersama Bank Negara Malaysia mengesahkan proses ‘charge back’ (caj balik) boleh digunakan penumpang yang terjejas berikutan penggantungan operasi syarikat penerbangan MYAirline sejak 12 Oktober lalu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, tuntutan itu masih boleh dilakukan walaupun tarikh perjalanan sudah luput dengan menghubungi MYAirline atau bank sendiri.
“BNM mengesahkan penumpang yang membeli tiket melalui kad kredit, kad debit dan debit (FPX) terus boleh menuntut pembayaran balik melalui proses ‘charge back’ (caj balik) sekiranya tarikh perjalanan sudah luput,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2024 bagi kementerian di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Loke berkata, perincian tuntutan balik itu adalah berdasarkan Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC) 2016 di mana penumpang yang terjejas hendaklah ditawarkan bayaran balik dalam tempoh 30 hari.
Beliau berkata, MAVCOM juga sedang memantau perkembangan semasa berhubung isu itu dan akan memastikan semua aduan serta perkara yang dibangkitkan penumpang terjejas diselesaikan sepenuhnya.
“MYAirline memberi jaminan kepada MAVCOM untuk menunaikan kewajipan membuat bayaran balik kepada penumpang terjejas dan berdasarkan data terkini yang diterima daripada MYAirline, penggantungan operasi syarikat itu menjejaskan 117,461 penumpang.
“Penumpang membeli tiket penerbangan bagi tujuh laluan domestik dan dua laluan antarabangsa iaitu Kuala Lumpur-Pulau Pinang, Kuala Lumpur-Kota Bharu, Kuala Lumpur-Langkawi, Kuala Lumpur-Kota Kinabalu, Kuala Lumpur-Tawau, Kuala Lumpur-Kuching, Kota Kinabalu-Tawau dan Kuala Lumpur-Suvarnabhumi (Bangkok) dan Kuala Lumpur-Don Mueang (Thailand).
“Jumlah harga tiket yang dijual sehingga Mac 2024 bernilai RM22,090,184,” katanya.
Menyentuh tindakan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menggantung Sijil Perakuan Pengendali Udara (AOC) syarikat MYAirline mulai 16 Oktober lalu, Loke berkata, ia bagi membolehkan audit keselamatan terperinci dijalankan untuk menilai semula keupayaan syarikat penerbangan itu. – MalaysiaGazette