Dr. Anusuiya (tengah) bersama pelajar menanam anak pokok paya bakau.

KUALA LANGAT – Seramai 60 orang pelajar dan pensyarah Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE), Universiti Putra Malaysia (UPM) menanam 50 anak pokok bakau di Taman Rekreasi Paya Bakau, Kampung Sijangkang, Kuala Langat, baru-baru ini.

Ketua projek, Pensyarah Kanan SPE UPM, Dr. Anusuiya Subramaniam berkata, projek ini sebagai langkah meningkatkan kesedaran komuniti untuk melindungi paya bakau serta mempromosikan tanggungjawab sosial dalam kalangan pelajar universiti.

“Selain daripada hasil jangka panjang dalam pemuliharaan alam sekitar, program ini juga dapat memberikan peluang kepada komuniti setempat mengukuhkan konsep eko pelancongan di kawasan ini.

“Semoga projek ini dapat dijadikan contoh kepada lebih ramai lagi masyarakat untuk terlibat dalam usaha pemuliharaan alam sekitar dan membantu mencapai matlamat kelestarian,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Projek bertemakan ‘Memperkasa Komuniti melalui Pemuliharaan Bakau Memacu Pendapatan Lestari’ turut mendapat kerjasama Persatuan Kebajikan dan Pendidikan Bumi Alam dan Sekolah Menengah Kebangsaan Telok Panglima Garang.

Dr. Anusuiya berharap agar program penanam kelestarian bakau ini dapat diteruskan pada setiap tahun bagi memelihara kepentingannya buat generasi akan datang. – MalaysiaGazette