Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak akan berkompromi keputusan yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan berhubung isu Pandemik Triti Pertubuhan Kesihatan Sedunia Perjanjian Konvensyen (WHO CA+) dan pindaan Regulasi Kesihatan Antarabangsa (IHR 2005).

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, kerajaan juga komited  untuk memelihara kedaulatan negara, kuasa Raja-Raja Melayu dan kuasa yang Yang di-Pertuan Agong dengan keputusan yang bakal diambil nanti.

Justeru, beliau memohon kepada rakyat di negara ini agar tidak terpedaya dengan berita palsu yang disebar di media sosial berkaitan dua isu itu.

“Proses pindaan pada kali ini masih dalam proses rundingan di mana rundingan berkenaan WHO CA+, Malaysia telah menghadiri 6 daripada10 rundingan.

“Rundingan yang ketujuh akan diadakan pada 6 hingga 10 November ini manakala untuk rundingan berkenaan pindaan IHR pula, Malaysia telah menghadiri lima daripada lapan sesi rundingan.

“Rundingan yang keenam akan diadakan pada 7 hingga 8 Disember depan di mana rundingan ini masih dan akan terus berjalan sehingga semua rundingan diselesaikan pada April tahun depan,” katanya pada sidang media di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian membuat penjelasan lanjut selepas menjawab soalan Shaharizukirnain Abd. Kadir (PN-Setiu) yang meminta pendirian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung isu WHO CA+ dan pindaan IHR 2005 yang pertu diputuskan sama ada diratifikasi atau ditolak sebelum 1 Disember ini.

Mengulas lanjut, Zaliha menambah, pendirian Malaysia dalam isu tersebut adalah jelas iaitu yang pertama yang mana kedaulatan dan autonomi negara tidak boleh dicabuli oleh mana-mana pihak.

Jelas beliau, sebarang penggubalan pada undang-undang antarabangsa mestilah tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, memelihara kedaulatan negara, kuasa Raja-Raja Melayu dan kuasa Yang di-Pertuan Agong dan tidak melanggar Hak Asasi Kebebasan Rakyat.

Kedua menurutnya, Malaysia mempertahankan prinsip keadilan dan solidariti dalam pentadbiran kesihatan global dan berpandangan adalah penting untuk negara-negara maju membantu negara-negara membangun dengan sumber-sumber yang mereka ada dan pengagihan sumber mestilah adil dan saksama.

“Ketiga adalah penyertaan Malaysia dalam rundingan-rundingan ini dipacu oleh matlamat untuk membina sistem penjagaan kesihatan yang lebih kuat dan lestari.

“Malaysia mengiktiraf keperluan untuk membangunkan kapasiti, kerjasama yang kukuh dan koordinasi dalam kalangan industri untuk meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi sebarang wabak pada masa akan datang.

“Pendekatan ini bertujuan untuk memastikan sumber-sumber kesihatan adalah adil dan boleh diakses di peringkat global, menyumbang kepada sistem penjagaan kesihatan yang lebih kukuh.

“Dan keempat, KKM mengutamakan ketelusan dalam menyampaikan maklumat yang tepat kepada orang ramai, Kempen kesedaran awam serta aktiviti mempromosi pemahaman yang jelas tentang proses yang berlangsung dalam INB dan WHR kepada orang ramai dapat dilihat melalui keterbukaan dalam rundingan serta ketersediaan maklumat dalam laman sesawang WHO,” katanya.

Zaliha memberitahu, KKM sedang giat menjalankan proses libat urus dengan 12 agensi atau kementerian bagi meneliti pindaan IHR 2005 dan WHO CA+, 12 agensi yang terlibat dalam proses libat urus.

September lalu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menuntut kerajaan membantah WHO CA+ dan pindaan IHR 2005 kerana dikhuatiri akan mengancam kedaulatan negara.

Ketua Aktivisnya Datuk Nadzim Johan berkata, Malaysia harus tegas dan wajib menolak pindaan IHR 2015 sebelum 1 Disember depan iaitu tarikh akhir bantahan supaya negara tidak dijajah anasir luar.

Menurutnya, sekiranya usaha itu gagal, WHO boleh mengambilalih pemerintahan sekali gus mengetepikan kuasa Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu dan kerajaan termasuk dalam membuat keputusan berkaitan pengisytiharan pandemik serta darurat. – MalaysiaGazette