hamas
Osama Hamdan (kiri) dalam sidang media di Beirut. Lubnan, semalam. - Gambar: Palestinian Information Center

BEIRUT – Pemimpin kanan Hamas, Osama Hamdan menuduh Amerika Syarikat (AS) dan negara-negara lain yang menyokong rejim Zionis Israel turut bersubahat dalam pembunuhan beramai-ramai di Gaza.

Memetik laporan Palestinian Information Center, beliau mengesahkan tentera rejim Zionis turut menggunakan senjata yang dilarang terhadap orang awam.

“Tentera Israel melakukan tiga pembunuhan beramai-ramai dalam masa kurang daripada 24 jam di Gaza yang membunuh dan mencederakan kira-kira 1,000 orang awam,” katanya dalam sidang media di sini semalam.

Osama juga mendakwa, rejim Zionis Israel berbohong apabila memberi alasan kononnya pejuang Hamas menjadikan hospital-hospital di Gaza sebagai tempat perlindungan.

Beliau memberitahu, penipuan itu adalah untuk mewajarkan jenayah keganasan yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel.

“Rejim Zionis gagal mencapai objektifnya dalam operasi yang dilancarkan dan pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan tidak melemahkan semangat pejuang-pejuang kami,” jelasnya.

Sementara itu, Osama berkata, AS bersikap sombong dan angkuh apabila mengeluarkan kenyataan berhubung masa depan Gaza tanpa Hamas.

Menurut beliau, AS cuba mewujudkan kepimpinan politik di Palestin mengikut kriteria yang ditetapkannya.

“Namun, pemilihan kepimpinan di Palestin adalah urusan rakyatnya yang hanya boleh dilakukan melalui pilihan raya,” katanya. – Agensi