Grab
Grab mendakwa tangkap layar Instagram Story yang tular telah dipetik di luar konteks. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Grab menyatakan bahawa ia kekal teguh dengan pendirian prokemanusiaan dan menyokong sebarang usaha ke arah keamanan serta gencatan senjata di Gaza.

Syarikat penyedia perkhidmatan e-panggilan dan penghantaran makanan itu berkata, ia tidak menyokong sebarang bentuk keganasan.

“Sebagai ahli United Nations Global Compact (UNGC), Grab mendukung prinsip asas badan itu yang menghormati perlindungan hak asasi manusia,” katanya dalam satu kenyataan melalui Facebook, hari ini.

Kenyataan itu merujuk kepada penyebaran paparan dalam media sosial berhubung isu konflik terbaharu Israel-Palestin oleh seorang wanita dipercayai ahli keluarga pemilik Grab.

Menurut Grab, individu berkenaan telah menjelaskan bahawa ia adalah pandangan yang disuarakan melalui platform peribadi serta dipetik di luar konteks sebenar.

Merujuk kepada penjelasan wanita terbabit yang turut dikongsi oleh Grab, paparan Instagram Story itu dibuat sebelum dia memahami apa yang berlaku di Israel dan Gaza.

“Tangkap layar Instagram Story saya yang disiarkan beberapa minggu lalu tiba-tiba muncul dan telah dipetik di luar konteks untuk mengapi-apikan kebencian,” jelasnya.

Wanita itu menambah, seperti orang lain, dia juga berharap agar gencatan senjata dikuatkuasakan dan situasi kembali aman.

“Saya sedih dan rasa tidak berdaya apabila mengenangkan kehilangan nyawa mereka yang tidak berdosa,” katanya.

Tangkap layar yang dikongsikan dalam media sosial itu memaparkan seorang lelaki dan kanak-kanak melancong di Israel di mana ia mengundang kecaman para netizen di negara ini.

Sebahagian daripada mereka yang kesal dengan pendirian peribadi wanita berkenaan bertindak menyahpasang aplikasi Grab dari telefon pintar masing-masing. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast