KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan mengeluarkan penjelasan rasmi mengenai penetapan had umur pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0.
Menurutnya, kerajaan bersetuju untuk memperkenalkan semula PLKN dengan kaedah yang baharu PLKN 3.0 selaras dengan Akta Latihan Khidmat Negara 2003 (Akta 628).
Pelatih akan dipilih mengikut tahun kelahiran dan ia bermaksud terdapat garis permulaan tahun kelahiran tertentu bagi pelatih untuk memulakan PLKN 3.0.
“Sebagai contoh, jika PLKN 3.0 dilaksanakan pada tahun 2024, hanya remaja yang dilahirkan pada tahun 2007 akan dipanggil untuk menjalani latihan PLKN.
“Sekiranya pelatih yang dipilih tidak dapat menyertai latihan khidmat negara atas sebab yang dibenarkan, mereka boleh memohon penangguhan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Had maksimum untuk menjadi pelatih adalah sehingga umur 35 tahun.
Kementerian Pertahanan berharap agar penjelasan itu dapat menyelesaikan kekeliruan dan kegusaran orang awam mengenai penetapan umur pelatih PLKN 3.0. – MalaysiaGazette