antonio guterres
Antonio Guterres - Gambar: Facebook

NEW YORK – Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres amat terkejut dengan serangan tentera rejim Zionis Israel terhadap konvoi ambulan di luar Hospital Al-Shifa, Gaza semalam.

Beliau berkata, imej-imej mayat yang berselerakan di atas jalan di luar hospital adalah amat mengerikan.

“Kini, selama hampir sebulan, orang awam di Gaza, termasuk kanak-kanak dan wanita, telah dikepung, disekat daripada menerima bantuan, dibunuh dan rumah-rumah mereka dibom.

“Ini mesti dihentikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kementerian Kesihatan Palestin mengesahkan seramai 15 mangsa terbunuh dan 60 orang lagi cedera dalam serangan kejam rejim Zionis Israel terhadap konvoi ambulans tersebut.

Guterres menegaskan, undang-undang kemanusiaan antarabangsa mesti dihormati manakala orang awam dan infrastruktur awam, termasuk pekerja kemanusiaan dan perubatan serta aset mesti dilindungi.

Beliau menambah, bekalan dan perkhidmatan penting serta akses kemanusiaan mesti dibenarkan masuk dan merentasi Gaza dengan selamat tanpa sebarang halangan.

“Mereka yang mempunyai pengaruh mesti melaksanakannya untuk memastikan undang-undang perang dihormati serta menamatkan penderitaan dan mengelakkan limpahan konflik yang boleh melanda seluruh rantau tersebut,” jelasnya.

Guterres juga bimbang dengan situasi kemanusiaan yang meruncing di Gaza di mana makanan, air dan ubat tidak mencukupi untuk menampung keperluan penduduk.

Beliau menambah, bekalan bahan api yang diperlukan untuk menjana tenaga di hospital dan loji air semakin berkurangan.

Guterres turut membangkitkan tentang masalah tempat perlindungan pelarian kendalian PBB yang terlalu sesak sehingga terpaksa memuatkan hampir empat kali ganda kapasitinya dan pada masa yang sama, dijadikan sasaran pengeboman.

“Bilik mayat sudah terlalu penuh. Kedai kosong. Keadaan sanitasi adalah teruk. Kita melihat penyakit dan masalah pernafasan, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak.

“Seluruh penduduk Gaza mengalami trauma. Tiada tempat yang selamat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengulangi rayuannya agar gencatan senjata kemanusiaan dikuatkuasakan di Gaza. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast