KUALA LUMPUR – Tabung Kemanusiaan Peace4Palestine anjuran Pergerakan Puteri UMNO berjaya mengumpulkan lebih RM70,000 sejak ia dilancarkan 20 Oktober lalu.
Iniasiatif dengan kerjasama Pertubuhan Sukarelawan Anak Generasi Muda itu menyasarkan kutipan sekurang-kurangnya RM100,000 sebelum kempen berakhir 20 November ini.
Bagi mencapai sasaran tersebut, ahli-ahli Pergerakan Puteri UMNO giat menjalankan kutipan derma di sekitar pasar malam, program-program di masjid dan stesen kereta api.
Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata, ahli-ahli sayap itu telah menggerakkan tabung dengan sepenuh jiwa ke semua 191 bahagian.
“Dengan satu matlamat iaitu dapat membantu saudara-mara kita di Palestin,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Pengerusi Biro Kebajikan dan Aduan Awam Pergerakan Puteri UMNO, Dayang Nurazlin Nordin berkata, sumbangan yang dihulurkan atas nama kemanusiaan itu sebagai tanda ingatan serta usaha meringankan beban dan penderitaan mereka.
“Kita tidak mampu untuk ke sana bagi membantu saudara-saudara kita,” jelasnya.
Pengerusi Biro Keselamatan dan Keamanan Sosial Pergerakan Puteri UMNO, Norshaidatul Akhmar Sharudin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada ahli-ahli sayap berkenaan yang telah berjaya menggerakkan Tabung Kemanusiaan Peace 4Palestin di seluruh negara.
Dalam pada itu, Pengerusi Biro Ekonomi Puteri UMNO, Nooryana Najwa Najib berkata, adalah sangat memberi inspirasi apabila melihat komitmen yang ditunjukkan ahli-ahli Puteri UMNO dalam membuat perubahan berhubung isu Palestin.
Menurut beliau, ahli-ahli sayap berkenaan di peringkat cawangan turut memainkan peranan dalam usaha kemanusiaan global.
“Bayangkan seorang gadis di Jasin, Melaka bekerja tanpa mengenal erti penat berazam untuk meringankan beban seorang gadis di Gaza.
“Ini adalah gambaran sebenar komuniti tanpa sempadan di mana kita mampu membantu antara satu sama lain,” katanya. – MalaysiaGazette