JOHOR BAHRU – OilyLicious Healthcare Sdn. Bhd. (OilyLicious) yang merupakan rakan jenama kepada Young Living mahu golongan wanita mengambil berat aspek kesihatan mental dan emosi.
Pengasasnya, Norhidawati Abdul Aziz berkata, ia penting memandangkan golongan Hawa merupakan tulang belakang kepada setiap keluarga.
“Keupayaan wanita untuk mengawal mental dan emosi sangatlah penting kerana ia sudah pasti memberi kesan positif kepada golongan sekeliling, jika dia seorang suri rumah perkara itu akan beri kesan kepada suasana rumah tangga.
Manakala jika dia seorang wanita bekerjaya, ia beri kesan kepada kerjanya pula.
“Sebaliknya sekiranya gagal mengawal, rumah tangga dan karier akan menjadi kucar kacir dan tidak menyenangkan, oleh itu adalah penting kita beri tumpuan terhadap aspek ini dalam kehidupan seharian setiap wanita,” katanya semasa sesi Live Your Passion Rally di Jalan Tampoi hari ini.
Program itu dihadiri seramai 30 wanita daripada pelbagai latar belakang termasuk usahawan, kakitangan awam, pekerja swasta dan juga suri rumah.
Kata Norhidawati, program dijalankan setiap tiga bulan sekali itu bagi memastikan para peserta sentiasa mendapat sokongan diperlukan.
Ia dianjurkan setiap tiga bulan sekali melibatkan 25 sesi.
“Kita juga anjurkan melalui secara atas talian. Antara pengisian adalah sesi motivasi serta teknik-teknik penggunaan minyak pati.
“Ini penting kerana kemahiran penggunaan minyak pati secara teknikal akan dapat meningkatkan keberkesanan produk agar pengguna dapat menerima manfaat sebaiknya,” katanya.
Pihaknya juga menyasarkan seramai 2,000 hingga 3,000 pengguna baharu bagi jenama Young Living sebelum akhir tahun ini.
“Setakat ini kita mempunyai seramai 30,000 ahli di seluruh negara yang mana majoriti daripadanya terdiri daripada kaum wanita,” katanya.- MalaysiaGazette