ISTANBUL – Masyarakat global dan Kesatuan Eropah didakwa telah menutup mata terhadap serangan Israel yang memusnahkan infrastruktur kesihatan Gaza, menyebabkan bayi dan orang awam mati, kata Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan.
Menuduh EU telah mempamerkan “peranan yang sangat pelik dan tidak konsisten,” Erdogan berkata, EU “gagal dan tidak mampu mengemukakan pendekatan yang adil.”
“Beri perhatian kepada siapa yang kini berada di pihak Israel, dan siapa yang juga tersisih daripada proses diplomatik dalam perang Rusia-Ukraine. (Ia adalah) Kesatuan Eropah,” kata pemimpin Turki itu kepada pemberita di dalam pesawat presiden itu ketika dalam perjalanan pulang dari Kazakhstan.
Beliau berada di Kazakhstan bagi menghadiri mesyuarat kemuncak Pertubuhan Negara-negara Turki (OTS).
“Kepercayaan kami terhadap EU telah hancur,.
“Pentadbiran EU mesti terlebih berfikir dengan teliti tentang isu kepercayaan terhadap undang-undang antarabangsa dan nilai sejagat yang mereka kerap sebutkan pada setiap peluang.
“Ketika hospital dibedil, orang awam terbunuh di kem pelarian, dan Israel menyebabkan kematian ke tempat ibadat, sekolah, dan pasar, EU perlu menjelaskan pendirian mereka,” kata Erdogan.
“Apakah yang dicadangkan oleh pentadbiran EU? Untuk membuka jalan bagi pendudukan sepenuhnya tanah Palestin oleh Israel dan benar-benar menamatkan kewujudan Palestin?,” soal Erdogan lagi.
Presiden menegaskan “sekarang adalah masa untuk mempertahankan nyawa manusia dan hak untuk hidup.”
Tentera Israel telah meluaskan serangan udara dan darat ke atas Semenanjung Gaza, yang telah diserang tanpa henti sejak serangan mengejut oleh kumpulan Palestin Hamas pada 7 Oktober lalu.
Sekurang-kurangnya 9,488 rakyat Palestin, termasuk 3,900 kanak-kanak telah terbunuh dalam serangan Israel sejak itu, manakala jumlah kematian Israel melebihi 1,500, menurut angka rasmi.
Bekalan asas semakin berkurangan untuk 2.3 juta penduduk Gaza akibat pengepungan Israel, di samping jumlah besar korban dan pemindahan. – Agensi