Setiausaha Agung Perikatan Nasional, Datuk Seri Hamzah Zainudin bercakap pada sidang media khas di Ibu Pejabat Perikatan Nasional ,Publika, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 03 NOVEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kuala Kangsar dari parti Bersatu, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid telah digantung keahlian selama empat tahun bermula awal bulan ini berikutan tindakannya secara terbuka membuat pengisytiharan menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, selain itu kesemua jawatan parti yang disandang oleh pemimpin itu juga telah digantung berkuat kuasa 3 November lepas.

“Keputusan penggantungan itu dibuat Jawatankuasa Lembaga Disiplin Bersatu yang bersidang bagi meneliti laporan pelanggaran disiplin dan Perlembagaan oleh Iskandar Dzulkarnain yang juga Ketua Bahagian Kuala Kangsar.

“Setelah diteliti dengan sehalusnya segala bukti dokumentasi, keseriusan kesalahan, implikasi serta impak kepada parti dan juga surat penjelasan daripada Iskandar Dzulkarnain, Jawatankuasa Lembaga Disiplin mendapati beliau bersalah di bawah Fasal 22.1 (f) Perlembagaan Bersatu,” katanya dalam kenyataan.

Baru-baru ini Iskandar Dzulkarnain dalam satu kenyataan, memutuskan untuk menyokong kepemimpinan Perdana Menteri.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas meneliti rintihan berterusan pengundi dan menitikberatkan keperluan mendesak untuk menangani masalah krisis kenaikan kos sara hidup yang melanda kawasannya.

Bagaimanapun Hamzah yang juga Ketua Pembangkang mendakwa, wakil rakyat itu telah diugut supaya menyokong kerajaan dan jika enggan, beliau akan didakwa atas kesalahan rasuah.

Dakwa Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut, tindakan menakut-nakutkan Iskandar Dzulkarnain itu dipercayai bertujuan mendapatkan sokongan supaya kerajaan Madani kembali memperoleh sokongan dua pertiga majoriti di Parlimen.

Susulan daripada itu, Iskandar Dzulkarnain telah mengadakan pertemuan dengan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kelihatan amat tertekan akibat tindakan menakut-nakutkan yang dibuat ke atas beliau.

Pada masa sama, Hamzah berkata, PN kesal dengan kenyataan media didakwa dibuat Iskandar Dzulkarnain secara terburu-buru dengan menggunakan hujah peruntukan pembangunan sebagai alasan amat berbeza dengan penjelasan diberi kepada beberapa pemimpin parti. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast