KUALA LUMPUR – Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) akan menganjurkan Pertandingan E-Sukan Mobile Legends sempena sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Kebangsaan (HPPNK) Tahun 2023 di Dataran Sultan Azlan Shah, Ipoh, Perak pada 10 hingga 12 November ini.
Sebanyak 32 pasukan terawal dijangka berentap dalam pertandingan tersebut bagi merebut hadiah terkumpul berjumlah RM10,000 berserta trofi dan sijil penyertaan, kata satu kenyataan.
Para pengunjung yang hadir juga berpeluang untuk bertemu penggiat profesional e-sukan seperti Ikuto, Sir Cloud dan Aiman Laphel menerusi sesi temu mesra.
Pertandingan terbuka kepada peserta lelaki dan wanita berumur 18 hingga 40 tahun dan mereka yang berminat untuk mengisi penyertaan dan boleh layari laman media sosial NAFAS atau NEKMAT bagi mendapatkan borang penyertaan.
Penyertaan adalah percuma dan pendaftaran hanya boleh dibuat secara atas talian bermula 24 Oktober hingga 8 November ini.
Penganjuran pertandingan e-sukan merupakan nilai tambah bagi menarik minat lebih ramai golongan muda dan merupakan fokus di bawah Agro Millenia yang turut menawarkan pelbagai aktiviti menarik lain.
Selain pertandingan Mobile Legends, pengunjung juga boleh merasai pengalaman bermain permainan bola sepak FIFA 2024 secara percuma melalui platform PlayStation 5.
Lebih menarik, pelbagai hadiah cabutan bertuah istimewa turut disediakan buat pengunjung sehingga RM10,000.
HPPNK merupakan platform untuk peladang, penternak dan nelayan mengetengahkan hasil-hasil pertanian dan teknologi terkini serta membuka peluang perniagaan kepada mereka yang berminat dengan sektor pertanian.
Edisi HPPNK 2023 kali ini menawarkan empat kluster utama iaitu Agro Millenia, Teknologi dan Inovasi, Sejahtera Malaysia dan Agro Madani.
Program akan turut dimeriahkan dengan pelbagai jualan produk, pameran serta produk makanan. – MalaysiaGazette