antonio guterres
Antonio Guterres - Gambar: Facebook

PERUBAHAN ketara konflik dan geopolitik global menuntut percaturan rubrik tindak balas dan reka bentuk strategi dan polisi yang bersesuaian dan berlandaskan pulangan masa depan. Krisis di Timur Tengah, Ukraine dan ketegangan pertikaian wilayah di Indo Pasifik termasuk di Laut China Selatan dan potensi konflik di Taiwan menjadi medan pertaruhan kuasa dan tayangan kuasa serta pengaruh yang mencetus konflik blok. Platform Global South kini mencabar legitimasi serta dominasi kuasa Barat yang telah bertapak lama dalam permainan politik dunia, dan PBB juga menghadapi dilema terbesar dalam mencorak hala tuju baharu.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) masih berpecah dari penjuru ekonomi, ideologi serta keselamatan, dalam kancah persaingan kuasa dan bloc mentality yang dipelopori usaha kuasa besar dalam mempertahankan sistem antarabangsa yang sedia ada, dan cabaran baharu yang dipelopori oleh Beijing untuk mencipta sistem baharu berlunaskan ciri-ciri Asia dan kepimpinan Global South dalam menggantikan kepimpinan Barat.

Setiausaha Agung PBB, António Manuel de Oliveira Guterres menegaskan polarisasi serantau dan global yang kian meruncing ini dapat dilihat dalam pelbagai lensa yang berkaitan. Perpecahan dari sudut Utara-Selatan, Barat-Timur dan polarisasi blok ekonomi dunia yang kini kian dikuasai oleh Beijing dan BRICS, serta blok keselamatan yang masih berorientasikan kuasa hard power Barat yang diterajui Washington.

Kebangkitan momentum BRICS dan Global South menyaksikan kemelut pertaruhan kuasa dan pengaruh semakin meruncing dalam arena keselamatan dan geopolitik, dan persaingan penguasaaan ekonomi dan mata wang perdagangan dengan usaha de-dollarisation yang ditunjangi oleh Beijing dan kuasa BRICS lain termasuk Brazil.

Persaingan pelbagai penjuru dalam kebangkitan kuasa dan pengaruh sistem alternatif yang dibayangi Global South yang cuba dipimpin oleh Beijing dan Moscow serta usaha untuk memperluas skop penglibatan kuasa middle power lain terutamanya di Timur Tengah dan Latin Amerika. Kelemahan impak dan fungsi arena multilateral dalam perspektif PBB, G20 atau G77 semakin terhakis, yang kini diterajui oleh rentetan momentum kaedah dan strategi minilateral atau domain urusan pengaruh secara bilateral dengan kuasa baharu atau sekutu lama dalam memperkukuh jaringan kepentingan kuasa besar.

Persaingan dalaman blok Global South untuk penguasaan platform suara tentangan Barat ini turut semakin ketara, daripada percubaan Xi Jinping dan Narendra Modi sehingga ke usaha Vladimir Putin dan Lula da Silva mahupun Tayyip Erdogan untuk memberikan nafas baharu kepada kesepaduan jaminan ekonomi dan keselamatan makanan dan sistem antarabangsa alternatif kepada cengkaman konvensional sistem global berasaskan Barat. Persaingan ini turut memberikan impak kepada percaturan kuasa dalaman blok dan peningkatan usaha berpaksikan kepentingan nasional masing-masing,yang menjurus kepada pembentukan pakatan minilateral yang lebih khusus dan spesifik dalam kumpulan kuasa yang lebih kecil yang dapat menjamin kelangsungan kepentingan keselamatan dan ekonomi tertumpu.

Walaupun kesepakatan terus diburu oleh kumpulan Global South atau blok Timur, persengketaan serta elemen legasi Sejarah dan ketidakpercayaan mendalam terus menghambat keberkesanan polisi dalam menghasilkan gelombang anti sistem Barat terutamanya dalam arena perdagangan dan de-dollarisation. Rusia dan China terus melihat Amerika dan Barat sebagai seteru utama, dan sistem global sedia ada yang dicanang oleh Washington digambarkan sebagai sistem yang berat sebelah dalam perkongsian impak pembangunan global yang terus menguntungkan Barat dan menindas kepentingan Global South, di samping usaha berterusan untuk membendung kebangkitan China.

Bagi Beijing dan Moscow, Washington dan Barat terus mengamalkan dasar hipokrisi dalam percaturan dan penggubalan sistem normatif rules-based order yang terus diangkat oleh Barat sebagai tonggak dan sandaran utama dalam mempertahankan kestabilan dan keharmonian hubungan sesama negara dan pelaku global. Bagi mereka, Amerika terus mencipta norma dan sistem antarabangsa berlandaskan nilai dan kepentingan Barat, seterusnya memaksa pelaku lain untuk mematuhi peraturan dan sistem ini walaupun Amerika dan Barat sendiri berupaya untuk terus mengabaikan rules-based order ini sekiranya diperlukan atau kepentingan negara mereka terancam.

Kuasa Barat telah dikecam dalam konteks mengabaikan konsep diplomasi multilateral, dan sasaran minilateral dan percaturan secara bilateral dalam arena ekonomi dan keselamatan sebagai langkah membendung kuasa baharu China dan ancaman Moscow dan Pyongyang, manakala Beijing pula dikritik dalam menggunakan platform multilateral dan institusi serantau sebagai lapangan untuk memperluas agenda soft power dan alat ekonomi Beijing untuk mempengaruhi kuasa lain. Kedua-dua ini mencetus polemik baharu dalam membentuk acuan dan haluan orientasi antarabangsa masa depan, dan percaturan Malaysia dalam menangani arus perpecahan ini menjadi faktor kritikal kepada kesinambungan kepentingan negara.

Dalam perubahan iklim geopolitik yang ketara ini, Malaysia kini berdepan dilema konvensional dalam menongkah arus transformasi kuasa ekonomi dan keselamatan dan pilihan yang terpaksa dibuat dalam menentukan pulangan jangka panjang dan konsisten kepada negara. Sejak sekian lama, pendirian dan pengaruh Malaysia di mata dunia dibentuk dalam perspektif polisi holistik berkecuali dan juga perjuangan dalam memartabatkan hak dan pengaruh negara-negara membangun serta pelaku yang ditindas,terutamanya dalam perjuangan hak Palestin.

Kini, dengan persimpangan konflik baharu, persoalan timbul mengenai pendirian dasar luar yang akan menjamin kepentingan negara. Adakah sandaran ASEAN, Global South atau OIC serta paksi pengaruh multilateral dan kuasa middle power membuahkan daya tahan yang diperlukan dan apakah langkah strategik baharu dalam memperkukuh jalinan ini?
Sandaran berpanjangan atau keterlaluan dalam satu-satu pendirian atau strategi dasar luar akan mencetus pendedahan risiko yang akan meningkat.

Strategi holistik perlu dirangka untuk dijadikan fallback option dalam mempertingkat kesiapsiagaan dan ketersediaan kapasiti jaminan pulangan masa depan. Usaha untuk memperluas rangkaian dan skop pilihan jaminan pasaran dan perdagangan ekonomi serta sumber kritikal rangsangan kewangan dan pelaburan perlu untuk terus dipertingkat dengan lonjakan usaha dan yang lebih genting bagi menangani risiko kebergantungan melampau.

Sandaran berterusan kepada ASEAN dengan konsep berkecuali serta pertaruhan kepada platform middle powers, Global South dan konsep multilateralisme perlu diperhalusi dengan perincian dan rangkaian penyelidikan yang menyeluruh, bebas serta terbuka dalam mencipta lembaran pertimbangan analisis kos dan pulangan yang mengambil kira semua indikator dan parameter perubahan skop dan julat kuasa, termasuk masa depan pertumbuhan rantau dan kuasa besar Barat dan Timur.

Ini dapat memberikan gambaran mengenai kelebihan dan kekurangan aset dan sumber dalaman dan luaran negara dalam menyesuaikan dengan sistem kuasa masa depan. Perancangan sumber dan perspektif multi-faceted and impartial approach dalam mengambil kira keperluan, percanggahan konteks berbeza keselamatan dan pertahanan dalam negara, perubahan faktor ekonomi dan kecekalan institusi sistem ekonomi dan keselamatan dunia sekarang dan masa depan perlu diperhalusi

Pengaruh soft power Malaysia juga mesti disuntik nafas dan lembaran baharu, dalam memperbetulkan persepsi antarabangsa mengenai tahap governans dan sistem integriti yang tercalar dengan krisis dan dilema lama. Kelebihan geostrategik negara terutamanya dalam domain sumber kritikal berpaksikan masa depan dalam bidang semikonduktor, keterjaminan dan keselamatan makanan dan tenaga hijau, sumber asas alam sekitar serta nadir bumi, kedudukan geostrategik maritim dan koridor kritikal persimpangan percaturan perdagangan dan laluan maritim, serta peranan sebagai hab masa depan teknologi kritikal kesemuanya perlu dicorak dan dicanang dalam percaturan baharu yang merentasi batasan dan pertelagahan dalaman, dan bijak direncana untuk selari dengan perspektif dan realiti gelombang antarabangsa masa depan.

Oleh: Collins Chong Yew Keat
Penganalisis Strategi dan Hubungan Antarabangsa
Pejabat Pendaftar, Canseleri Universiti Malaya