WAKAF al-muaqqat atau wakaf bertempoh mempunyai potensi untuk diketengahkan dan ianya adalah strategi penting dalam pembangunan hartanah wakaf di Malaysia.Melalui Belanjawan 2024 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim Oktober lalu, beliau ada menyatakan peruntukkan pinjaman sebanyak RM500 juta demi membangunkan hartanah wakaf yang berpotensi. Sekaligus melibatkan wakaf hartanah bertempoh atau wakaf tunai bertempoh merujuk keperluan pihak-pihak berkepentingan yang ingin membangunkan projek-projek wakaf tersebut merujuk tempoh yang telah dimeterai. Strategi ini memungkinkan pemegang amanah wakaf untuk merangka pembangunan secara bersasar mengikut tempoh yang telah dipersetujui.
Secara umumnya, tempoh wakaf hartanah al-muaqqat ini juga sinonim dengan konsep pajakan tanah yang dinyatakan di dalam Kanun Tanah Negara 1965 (KTN). Lazimnya tempoh yang diperuntukkan adalah sekitar 30, 60 dan 99 tahun merujuk saranan Pihak Berkuasa Negeri ( PBN) terbabit. Namun dalam kes wakaf hartanah bertempoh ini, pihak pemegang taruh khususnya Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), Yayasan Wakaf Malaysia (YWM), Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) boleh mula mempromosikan kaedah wakaf bertempoh ini supaya pihak-pihak yang berminat untuk berwakaf sedar akan kewujudan terminologi wakaf bertempoh.
Banyak sebab, mengapa wakaf bertempoh ini sangat penting dan wajar menjadi alternatif tambahan dalam menggalakakkan proses dan budaya berwakaf itu. Umat Islam lazimnya sedar, wakaf adalah amal jariah paling panjang dan secara prinsipnya, orang yang berwakaf ini pahalanya mengalir sehingga hari akhirat, manakala hartanya akan terus subur jika terus diuruskan dengan baik oleh pemegang amanah wakaf yang dilantik. Lihatlah wakaf hotel milik Saidina Outhman bin Affan di Madinah yang masih kukuh beroperasi sehingga hari ini. Ianya membuktikan kelestarian hartanah wakaf jika diuruskan dengan baik mampu menjana pendapatan untuk manafaat ummah.
Sebenarnya jika kita mampu menjadikan wakaf sebagai budaya hidup umat Islam, kita boleh mendapat sumbangan yang berterusan dari mereka yang faham dan sedar akan kebaikan dan manafaatnya. Sesuatu amalan itu, jika ingin dijadikan budaya perlu disuntik kesedaran yang berterusan. Lihatlah iklan produk-produk yang ada pasaran, teknik pemasaran yang berterusan menjadikan jenama tertentu melekat dalam hati dan sanubari pembeli. Wakaf juga begitu, ianya perlu dipasarkan mengikut cara orang berniaga. Teknik yang jelas, golongan sasaran yang tepat dan masa yang berterusan.
Hartanah atau wang tunai yang diwakafkan oleh pewakaf bertempoh, biar pun bukan selama-lamanya, ianya akan diberikan tempoh tertentu yang anjal supaya pihak pemegang amanah dapat mengelolanya secara aktif. Keuntungan dari projek pembangunan inilah yang akan digunakan untuk tujuan wakaf yang telah ditetapkan pewakaf dan pemegang amanah.
Dalam konteks negara kita hari ini, terlalu banyak pembangunan yang boleh ditambah baik menggunakan wakaf. Projek pembangunan seperti hospital, sekolah, pusat kebajikan, tanah pertanian, pusat komersial dan pelabagai program sosial, seperti bantuan kepada golongan miskin, anak yatim, atau orang kurang upaya adalah antara projek wakaf yang sangat sinonim untuk diangkat dalam keadaan negara kita yang sangat memerlukan kesemua pembangunan ini.
Malah, kaedah wakaf bertempoh ini turut boleh dipraktiskan dalam merangka kolobrasi strategik antara sektor dalam kerajaan, baik di peringkat perseketuan, negeri mahu pun tempatan. Kita menyedari, pembangunan infrastruktur seperti jalanraya, longkang, perumahan awam adalah antara keperluan rakyat yang tidak pernah surut.
Malah harga rumah yang tinggi di pasaran, menyebabkan rakyat yang berpendapatan rendah tidak mampu untuk memiliki rumah yang selesa bagi membolehkan mereka hidup dalam keadaan harmoni. Jadi, amat wajar sekiranya syarikat berkaitan kerajaan atau GC terjun ke dalam sistem wakaf dengan niat membantu negara. Walaupun tidak dapat mewakafkan untuk selama-lamanya, apalah salahnya jika wakaf tersebut bertempoh? Kata orang kalau tak dapat buat semua, janganlah tinggal semua.
Petroleum Nasional Berhad (Petronas), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Telekom Malaysia Berhad (TM), Malaysia Airlines Berhad dan Maybank (Malayan Banking Berhad) merupakan salah satu bank terbesar di Malaysia dan dimiliki oleh Permodalan Nasional Berhad adalah contoh GLC yang ditunggu-tunggu untuk menyahut seruan wakaf bertempoh ini. GLC di Malaysia memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi negara dan pelbagai inisiatif sosial.
Kepentingan dan pengaruh GLC dalam menyaut seruan wakaf ini mencerminkan hubungan erat antara sektor swasta dan kerajaan dalam negara ini. Keuntungan yang dijana oleh GLC bukan ratusan juta, malah billion ringgit. Bayangkan semua GLC ini
menyumbang RM100 juta setiap organisasi, cukuplah 10 GLC, dapatlah kiranya mengumpul 1 billion. Maka tepatlah kata pepatah, bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.
Syarat untuk memastikan wakaf bertempoh berjaya, ianya harus diuruskan oleh ahlinya. Yakni mereka yang mempunyai kefahaman yang jitu terhadap falsafah wakaf dan telah berasimilasi dengan falsafah ekonomi dan pelaburan. Ini penting bagi menentukan hala tuju projek yang telah menjalani rundingan kajian kemungkinan dari aspek keuntungan, pasaran, modal, golongan sasar dan paling penting patuh syariah.
Program latihan dan bimbingan boleh dibiayai dengan pendapatan wakaf bertempoh untuk memperkukuhkan pengetahuan dan kemahiran masyarakat setempat dalam pengurusan wakaf dan pembangunan projek wakaf. Sebab itu penting untuk melihat wakaf bertempoh ini secara “case by case” menerusi analisis kos dan manafaat yang boleh dijana.
Pemerkasaan instrumen wakaf bertempoh yang berkesan dengan menjamin tadbir urus yang baik, pelaburan yang bijak, dan pematuhan undang-undang yang berkaitan akan menjadiakn model wakaf bertempoh ini seoalah-olah makanan kepada GLC. Tiba satu masa nanti, GLC yang tidak menyertai wakaf bertempoh ini, mungkin dianggap GLC yang kurang cakna terhadap nasib rakyat kebanyakan.
Selain itu, kesedaran masyarakat mengenai potensi wakaf dan kepentingannya dalam pembangunan komuniti juga merupakan faktor penting dalam pembangunan wakaf al-muaqqat di Malaysia. Contohnya apabila melihat Petronas atau syarikat lain berwakaf, secara tidak langsung ianya mendapat manafaat pemasaran yang signifikan, walaupun matlamat asalnya adalah untuk menyuntik modal wakaf secara bertempoh. Syarikat berkepentingan kerajaan mencipta citra positif di mata pelanggan dan masyarakat umum. Ini sekali gus boleh meningkatkan persepsi awam untuk terus membeli produk syarikat dan membantu membina kepercayaan yang berterusan.
Maka, disinilah peranan media untuk memberi liputan apa yang telah syarikat lakukan. Membantu meningkatkan kesedaran tentang jenama syarikat tersebut untuk terus mendapat sokongan dalam operasinya. Pelanggan lazimnya, lebih suka menyokong syarikat yang terlibat dalam aktiviti yang bersifat holistik dan menonjolkan imej positif, khususnya wakaf yang diterangkan menggunakan naratif amal jariah. Mereka mungkin
lebih cenderung untuk memilih produk syarikat yang gemar berwakaf berbanding pesaingnya.
Ini mengangkat imej dan identiti syarikat untuk terus kekal di persada. Malah, kerajaan juga boleh memberikan insentif cukai kepada syarikat yang mengambil bahagian dalam membangunkan wakaf ini. Walaupun inisiatif wakaf sering kali dilakukan dengan niat baik, syarikat juga sedar bahawa ini merupakan sebahagian penting daripada strategi pemasaran menggunakan teknik pemasaran bawah sedar.
Dalam konteks ini, wakaf adalah cara bagi syarikat untuk mencapai pelbagai matlamat pemasaran dan memperkukuhkan hubungan mereka dengan pelanggan dan masyarakat. Bagi merealisasikan hasrat ini, semua pihak berkepentingan haruslah duduk di meja rundingan untuk memikirkan siapakah yang akan menjadi panglima wakaf bertempoh sekaligus menguasai delegasi negara menjadikan wakaf sebagai sumber ekonomi negara yang unggul.
Oleh: Oleh: Dr Siti Nadiah Mohd Ali
Pensyarah Kanan,
Pusat Pengajian Pengurusan Hartanah,
Jabatan Pengajian Alam Bina dan Teknologi,
Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak,
Kampus Seri Iskandar