Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi pegawai penjara ketika hadir ke mahkamah bagi sambung perbicaraan kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 20 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan pasukan pendakwaan bagi meminda tiga pertuduhan yang dihadapi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam membabitkan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ia berhubung dua kesalahan pengubahan wang haram dan satu tuduhan predikat iaitu penyalahgunaan kuasa.

Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah ketika memutuskan perkara itu berkata, pendakwaan berhak membuat pindaan tersebut sebelum menutup kes.

Katanya, pindaan hanya melibatkan jumlah untuk dıpinda namun naratifnya masih tidak berubah atau prejudis terhadap Najib seperti dakwaan pasukan pembelaan.

“Tidak ada ‘mala fide’ di pihak pendakwaan,” katanya  ketika prosiding hari ini.

Dalam pada itu, Collin membenarkan permohonan pasukan pendakwaan beberapa dokumen penyata bank boleh diterima masuk sebagai bukti dalam kes ini.

Sebelum ini, pasukan pembelaan membantah permohonan tersebut ketika mahkamah mendengar keterangan Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), Asisten Komisioner Foo Wei Min.

Najib berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Mengenai pertuduhan salah guna kuasa, pasukan pendakwaan mahu meminda jumlah RM49.9 juta kepada RM44.6 juta, selain pindaan tuduhan pengubahan wang haram masing-masing membabitkan RM652.6 juta kepada RM515.7 juta serta RM12.4 juta kepada RM11.4 juta. – MalaysiaGazette