Grab Singapura
Ibu Pejabat Grab Malaysia di Petaling Jaya, Selangor. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Grab Malaysia akan menyalurkan bantuan kewangan bernilai RM1 juta melalui MERCY Malaysia bagi mengatasi keperluan mendesak dihadapi oleh komuniti rentan yang terjejas di Gaza berikutan konflik yang berterusan ketika ini.

Syarikat penyedia perkhidmatan e-panggilan dan penghantaran makanan itu turut menyasarkan untuk memenuhi keperluan kritikal mereka yang terjejas dengan membantu menyediakan akses kepada perubatan, makanan, bekalan air dan pelbagai lagi serta mengutamakan kesejahteraan mereka.

Grab Malaysia juga menekankan komitmennya kepada prinsip kemanusiaan dan keamanan serta secara keras menentang sebarang keganasan yang melanggar hak asasi manusia.

“Syarikat ini menyokong sebarang usaha yang membawa kepada keamanan yang berkekalan serta adil.

“Grab Malaysia dan MERCY Malaysia sedang bekerjasama untuk mewujudkan program dan inisiatif yang mampan, dalam memastikan kesan positif yang berkekalan kepada pelbagai komuniti yang terjejas, dengan menyasarkan pemulihan segera, daya tahan dan sokongan jangka panjang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, mulai 8 November ini hingga 8 Mei 2024, Grab akan memadankan jumlah yang didermakan kepada Tabung Bantuan Palestin MERCY Malaysia melalui GrabRewards sebagaimana pelaksanaan sumbangan amal melalui GrabRewards sebelum ini.

“Pengguna Grab juga boleh menyumbang melalui GrabPay atau menukar GrabRewards mereka untuk menyokong usaha MERCY Malaysia, sekali gus menyumbang untuk membuat perubahan yang nyata dalam kehidupan individu yang terjejas,” jelasnya.

Grab Malaysia turut menzahirkan perasaan amat bersimpati dengan nasib komuniti yang terjejas akibat konflik di Gaza dan mengutuk sebarang tindakan keganasan yang mengancam kemanusiaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast