Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong

KUALA LUMPUR – Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 perlu digubal supaya calon yang sama tidak boleh bertanding semula dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) selepas kemenangannya dibatalkan atas kesalahan rasuah.

Menurut Khoo Poay Tiong (Kota Melaka – PH), individu yang sama tidak lagi boleh dibenarkan untuk bertanding.

Beliau berkata demikian merujuk kes kerusi Parlimen Kuala Terengganu dan Kemaman selepas kemenangan Parikatan Nasonal (PN) dibatalkan apabila namun calon sama tidak dihalang dari bertanding semula.

“Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 di bawah Seksyen 10 mengatakan bahawa seseorang calon sekiranya dia ketahui ada unsur sogokan maka ia akan menjadi bukti untuk membatalkan keputusan pilihan raya akan tetapi seksyen 37(b)1. Dalam Akta Pilihan Raya pula mengatakan mengatakan seseorang itu hanya dihalang menjadi calon semula dengan syarat ada pengetahuan dan juga persetujuan (calon) atas perbuatan rasuah.

“Saya lihat dua seksyen ini ada percangahan, kita merujuk kepada keputusan mahkamah di kerusi Kuala Terengganu dan Kemaman di mana mahkamah memutuskan ada unsur sogokan di kedua Parlimen tersebut dan mereka dibatal kemenangan tapi calon dibenar tanding semula dalam PRK ini suatu yang aneh, kalau sudah ada sogokan kenapa perlu mesti ada persetujuan (calon) untuk sogokan tersebut baru boleh di halang bertanding,” katanya.

Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat ketika Perbahasan Belanjawan di Peringkat Jawatankuasa hari ini.

Sebagai rekod, pada 27 Jun lalu, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad yang mewakili Pas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) selepas didapati wujud perbuatan rasuah dengan tujuan mempengaruhi pengundi.

Kemudian mahkamah yang sama pada 26 September lalu juga membatalkan kemenangan calon Perikatan Nasional (PN), Che Alias Hamid (Pas) di kerusi Parlimen Kemaman selepas mendapati wujud unsur sogokan di beberapa majlis rasmi Kerajaan Negeri Terengganu melalui dana bantuan i-Belia dan i-Siswa yang telah diagihkan kepada pengundi semasa tempoh berkempen untuk PRU-15.- MalaysiaGazette