Armizan Mohd Ali bersama Timbalan Menteri KPDN Senator Fuziah Salleh menyerahkan sumbangan bakul rahmah kepada 40 penerima dari Pusat Kebajikan Jayaa Sri di Bandar Tasek Kesuma, Beranang, Semenyih di sini hari ini bersempena pengumuman Barang Skim Kawalan Harga Maksimum sempena sambutan Deepavali 12 November ini.

KAJANG – Kerajaan menyenaraikan sebanyak lapan jenis barangan yang akan dikawal harga maksimum sempena sambutan musim perayaan Deepavali pada 12 November ini.

Barangan itu ialah bawang besar import; bawang merah kecil (India) tidak termasuk Ros; cili merah, daging kambing biri-biri tulang import; kacang dal (Australia); kelapa biji (harga maksimum diperingkat borong sahaja); kepala parut (harga maksimum di peringkat runcit) dan tomato

Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali berkata skim harga kawalan maksimum terhadap lapan barang itu akan berkuatkuasa dari 9 hingga 15 November ini.

Tempoh pelaksanaan skim harga maksimum ini adalah selama tujuh hari iaitu tiga hari sebelum, semasa dan tiga hari selepas sambutan Deepavali.

Beliau berkata demikian dalam sidang media khas bersama Timbalan Menteri KPDN Senator Fuziah Salleh mengenai pengumuman skim harga maksimum perayaan Deepavali 2023 di Rumah Kebajikan Bandar Tasek Kesuma, Beranang di sini.

Armizan bersama Fuziah menunjukkan tanda harga merah jambu untuk lapan jenis barang skim kawalan harga maksimum sempena Deepavali 2023 12 November ini dalam sidang media di Pusat Kebajikan Jayaa Sri di Bandar Tasek Kesuma, Beranang Semenyih hari ini.

Tambah beliau, tempoh pelaksanaan SHMMP Deepavali 2023 kali ini adalah bersesuaian dengan keadaan semasa bagi menjamin kestabilan harga kepada kedua-dua pihak sama ada di peringkat pengguna mahupun peniaga pada musim perayaan ini.

Justeru katanya, senarai barangan, paras harga maksimum dan tempoh pelaksanaan ditentukan berdasarkan beberapa faktor seperti permintaan serta penawaran, kos semasa, cuaca, kadar tukaran wang asing, kadar upah dan faktor luaran seperti ekonomi global.

“Penentuan hargaini turut dibuat dengan mengambil kira pandangan daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), agensi-agensi Kerajaan dan pemain industri.

“Skim harga maksimum musim perayaan Deepavali tahun ini akan dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011,” ujarnya lagi.

Armizan yang juga Menteri Tugas-Tugas Khas merangkap Ahli Parlimen Papar itu juga menegaskan bahawa harga maksimum yang ditetapkan untuk Deepavali diperingkat pemborong dan peruncit boleh disemak melalui laman web rasmi kementerian di www.kpdn.gov.my.

Justeru katanya, pegawai penguatkuasa KPDN di seluruh negara akan meneruskan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan di lokasi-lokasi strategik seperti di pasar awam, pasar tani, dan pusat membeli belah barangan keperluan perayaan bagu menjalankan penguatkuasaan untuk melindungi daripada peniaga-peniaga yang tidak beretika.

Pada masa sama Armizan turut memaklumkan pihaknya akan bekerjasama dengan KPKM untuk memastikan bekalan barangan yang dikawal adalah mencukupi sepanjang tempoh pelaksanaan skim harga maksimum musim perayaan ini.

“Kerajaan berharap semua pihak dapat mematuhi harga-harga yang telah ditetapkan ini dan menggunakan label merah jambu bagi barangan yang dikawal harganya.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana peniaga yang dikesan gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini di bawah AKHA 2011 serta penalti denda di mahkamah sehingga RM10,000 atau penjara maksimum tiga tahun bagi kesalahan individu.

“Manakala bagi kesalahan membabitkan syarikat boleh didenda sehingga RM500,000 atau kompaun sehingga RM250,000,” tegasnya lagi.-MalaysiaGazette