KUALA LUMPUR – Malaysia muncul antara negara Islam terawal membantu Palestin dengan menghantar misi bantuan kemanusiaan ke negara berkenaan pada Jumaat lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini kerana kerajaan negara ini paling cepat mendapat kelulusan pendaratan di Mesir untuk dibawa bantuan ke sempadan negara itu di Rafah.
“Saya telah bercakap dengan Presiden Mesir, Abdel Fatah Al-Sisi berhubung persiapan Malaysia untuk menghantar bantuan.
“Usah jadikan isu (Palestin) ini politik. Jangan sesekali membina mahligai atas pusara pusara. Jadi ini ingatan kepada semua buat kerja cari derma cari bantuan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan Ekspo Malaysia Digital di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, hari ini.
Jumaat malam lalu, pelepasan pertama bantuan misi kemanusiaan Malaysia ke Gaza selamat berlepas selepas tertangguh selama seminggu.
Pesawat Boeing, B737 yang memuatkan 20 tan bantuan terdiri daripada barang-barang keperluan dilepaskan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan disaksikan Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali.
Menurut Ahmad Zahid, barang-barang keperluan itu bernilai hampir RM7 juta khusus untuk rakyat Palestin yang terkesan dengan situasi perang.
Sumbangan ini akan diterbangkan terus ke Al-Arish, Mesir sebelum dibawa dengan sejumlah trak ke wilayah Gaza.
Penghantaran kali kedua dijangka dilakukan pada minggu ini. – MalaysiaGazette