Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul hadir Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Majlis Parlimen ke 15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 19 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul tidak akan mengendahkan tuduhan dan hinaan yang dibuat terhadapnya di luar Dewan Rakyat.

Mengulas dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin pada sidang media pada Jumaat lalu, beliau berkata, adalah menjadi tanggungjawabnya memastikan persidangan berjalan lancar dan aman demi manfaat rakyat, tanpa menyebelahi mana-mana pihak.

“Saya berbeza dengan Tan Sri sebelum ini, apa-apa juga yang diungkapkan dalam dewan ini yang mempersoalkan kewibawaan saya, saya akan ambil tindakan namun begitu sesiapa juga boleh hina saya di luar, boleh panggil saya tidak layak, tidak berpendidikan tidak menjadi isu.

“Bagi saya, saya berkhidmat untuk dewan ini, di luar terpulanglah nak kata saya bodoh, tidak cerdik, tidak layak, itu bukan urusan saya. Saya di sini tidak berpihak kepada mana-mana, saya bertanggungjawab di sebelah kanan saya, begitu juga di sebelah kiri,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Menurut Johari, beliau enggan terlibat dalam permainan politik Ahli Dewan Rakyat,

Terdahulu, Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer (Pakatan Harapan) membangkitkan dan memohon petua daripada Joahri berhubung kenyataan Hamzah baru-baru ini yang disifatkannya mempertikai kewibawaaan Johari menggalas jawatan berkenaan.

Menurut beliau, sebagai Ketua Pembangkang, Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut sepatutnya membangkitkan perkara berkaitan ketidakpuasan hatinya di dalam Dewan Rakyat.

“Saya baca FMT, bertarikh 3 November 2023, kenyataan Ketua Pembangkang pertikai kredibiliti Speaker kata tiada latar belakang undang-undang. Saya nak tanya Speaker sebagai Ketua Pembangkang bolehkah beliau bangkitkan perkara ini? Hentam, tuduh Speaker di luar dewan? Saya faham kalau ada perkara beliau tidak setuju boleh dibangkitkan di Dewan Rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette