Tertuduh, K. Shiva Lingaa, 30, mengaku tidak bersalah atas keenam-enam pertuduhan yang dicakan ke atasnya di Mahkamah Sesyen hari ini.

JOHOR BAHRU – Seorang pemilik syarikat teknologi maklumat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas enam pertuduhan menipu dengan mengemukakan dokumen palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), dua tahun lalu.

Beliau membuat pengakuan itu selepas pertuduhan  dibacakan di hadapan Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Tertuduh, K. Shiva Lingaa, 30, dituduh melakukan perbuatan itu bagi menuntut insentif di bawah Program Insentif Pengambilan Pekerja (Penjana) membabitkan nilai keseluruhan RM196,760.

Mengikut kertas pertuduhan pertama hingga keenam, tertuduh didakwa menipu seorang kakitangan Perkeso Johor Bahru dengan mengemukakan Borang Pengesahan Pekerja palsu bagi Penjana.

Tindakan pemilik syarikat itu mengemukakan senarai lapan pekerja bagi menuntut insentif itu yang mana individu terbabit bukan pekerja syarikatnya.

Tindakan Shiva Lingaa  itu didakwa dilakukan dengan niat hendak memperdayakan kakitangan Perkeso, sedangkan dokumen dikemukakan itu mengandungi butiran pekerja palsu.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di Pejabat Perkeso Johor Bahru, pada 30 Jun 2021.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rais Adha Ramli dan Nur Mahirah Mohd Pauzi manakala tertuduh diwakili Muhammad Faizzudin Abd Rafik.

Rais Adha memohon mahkamah mengenakan syarat termasuk jaminan sebanyak RM50,000, seorang penjamin warga tempatan selain passport antarabangsa tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, peguam tertuduh memohon jumlah jaminan dikurangkan kepada RM15,000 kerana tertuduh perlu menanggung kedua ibu bapanya selain tidak pernah gagal hadir siasatan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Hakim kemudian memerintah tertuduh dijamin sebanyak RM15,000 dengan seorang warga tempatan.

Sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen pula ditetapkan pada 6 Disember depan. – MalaysiaGazette