RAMALLAH – Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang dikuasai Fatah boleh kembali ke Gaza jika ada penyelesaian menyeluruh terhadap isu Palestin.
Presiden PA, Mahmoud Abbas yang kini memerintah di Tebing Barat berkata, pihaknya akan memikul tanggungjawab sepenuhnya terhadap Gaza.
Perkara tersebut dimaklumkan Abbas ketika bertemu dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Antony Blinken yang sedang dalam lawatan ke Timur Tengah.
“Kami akan memikul sepenuhnya tanggungjawab kami dalam rangka kerja penyelesaian politik menyeluruh yang merangkumi semua Tebing Barat (yang diduduki) termasuk Baitulmaqdis Timur dan Semenanjung Gaza,” kata Abbas seperti yang dilaporkan agensi berita rasmi Palestin, Wafa.
Hamas merupakan pesaing parti politik kepada Fatah. Hamas mengambil alih Gaza daripada Fatah pada 2007 selepas memenangi pilihan raya umum.
Israel kini berusaha menghapuskan Hamas dengan mengebom keseluruhan wilayah Gaza hingga mengakibatkan kematian orang awam Palestin yang hampir mencecah 10,000 nyawa. – Agensi