Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Prestasi ringgit dan mata wang serantau lain terus didorong oleh faktor luaran, terutamanya jangkaan bahawa kadar faedah Amerika Syarikat akan kekal tinggi untuk tempoh yang lebih lama, dan faktor geopolitik.

Walau bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkembangan mata wang ringgit dijangka tidak akan menjejaskan prospek pertumbuhan ekonomi negara.

Menurutnya, usaha kerajaan terhadap pembaharuan struktur, termasuk inisiatif menerusi Pelan Induk Perindustrian Baru 2030 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga akan memperkukuhkan daya saing Malaysia.

Ini akan meningkatkan daya tarikan negara terhadap pelabur asing, seterusnya membantu pengukuhan nilai ringgit secara lebih mampan, katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara hari ini.

Tambah Anwar, Bank Negara Malaysia komited dalam usaha membendung kemeruapan yang berlebihan bagi memastikan pasaran pertukaran ringgit kekal teratur.

Pada 19 September lalu, ringgit jatuh ke paras terendah sejak Krisis Kewangan Asia kerana mata wang tempatan ditimbang oleh kenaikan dolar Amerika Syarikat (AS) dan perbezaan kadar yang semakin meluas dengan negara itu.

Mata wang tempatan turun sebanyak 0.3 peratus kepada 4.7635 berbanding dolar AS, pa­ling lemah sejak 1998, sekali gus menjadikannya prestasi terburuk di Asia tahun ini selepas yen Jepun.

Bagaimanapun, MIDF Research dalam kenyataannya hari ini mengunjurkan ringgit berkemungkinan meningkat menjelang akhir tahun, dengan jangkaan bahawa Rizab Persekutuan (Fed) akan berhenti menaikkan kadar faedah, China bersedia untuk pemulihan, serta pelonggaran permintaan untuk dolar AS sebagai pelaburan selamat.

Walau bagaimanapun, MIDF berkata, unjuran ini tertakluk kepada ketidakpastian mengenai dasar Fed, turun naik hasil Perbendaharaan AS dan ketegangan geopolitik semasa di Timur Tengah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast