KUALA LUMPUR – Misbahul Munir Masduki (Parit Buntar – PN) dan Mohd Sany Hamzan (Hulu Langat -PH) diarahkan keluar daripada Dewan Rakyat selepas bertengkar isu doa Qunut Nazilah dan takbir di sekolah.

Terdahulu, Misbahul mendakwa Kementerian Pendidikan tidak membenarkan takbir dan doa Qunut Nazilah dilaungkan di sekolah dalam Program Minggu Solidariti Palestin.

Justeru itu, beliau meminta pandangan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar.

“Saya minta pandangan Menteri Hal Ehwal Agama, untuk doa Qunut Nazillah dan takbir yang tidak dibenarkan oleh Menteri Pendidikan pertama. Saya harap Menteri Hal Ehwal Agama tidak menghalang pelajar sekolah agama melaungkan takbir dan doa Qunut Nazilah kerana ia diajar oleh sunnah Rasulullah SAW.

“Takbir ialah laungan membesarkan Allah, maknanya Allah. mengapa ia tidak dibenarkan ketika Palestin ditimba musibah,” katanya ketika ketika Sesi Perbahasan Belanjawan di Peringkat Jawatankuasa di Dewan Rakyat hari ini.

Susulan itu, Dewan Rakyat kecoh apabila Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil bersuara mengatakan apa yang dikatakan oleh Misbahul tidak benar.

Mohd Sany kemudian bersuara lantang mengatakan Ahli Parlimen Parit Buntar mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan dan fitnah dalam Dewan Rakyat.

“Peraturan Speaker, mengelirukan apa yang dikatakan mengelirukan, fitnah dalam dewan ini,” katanya.

Senada dengan Mohd Sany, adalah Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari mendakwa ia mengelirukan Dewan Rakyat.

Oleh kerana kekecohan tersebut yang berlarutan beberapa minit, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul memutuskan Misbahul dan Mohd Sany keluar daripadda Dewan Rakyat.

“Keluar untuk hari ini. Saya suruh duduk tidak mahu jangan pertikaikan,” tegasnya.

Sebagai rekod, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek baru-baru ini berkata ekosistem sekolah dinamik terdiri daripada pelbagai latar belakang dan agama.

“Jangan susah hati kalau sekolah tidak ada takbir, tidak ada Qunut Nazilah, ada sebab kenapa ia berlaku dalam suasana dan aktiviti yang dibenarkan bersesuaian dengan sekolah. Sebab itu penting ketika ini adalah mesej pendidikan dan kemanusiaan dan kedamaian,” katanya pada Khamis lalu.- MalaysiaGazette