Ishak (tengah) memeriksa peralatan bagi menghadapi MTL bersama anggota APM Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Seramai 850 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pulau Pinang kini bersiap siaga bagi menghadapi peralihan Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula Sabtu ini hingga Mac depan.

Pengarahnya, Leftenan Kolonel (PA) Ishak Mohd Radzi berkata, pelbagai kelengkapan logistik termasuk lori dan pacuan empat roda turut disediakan untuk pengurusan bencana di peringkat negeri dan daerah.

Jelas beliau, pihaknya juga telah menganjurkan mesyuarat dan simulasi bencana serta mengaktifkan pusat kawalan operasi bencana di lima daerah.

Ishak Mohd Radzi.

“Sebenarnya, persediaan sudah dilakukan sejak Oktober lalu iaitu lebih awal bagi menghadapi monsun timur laut yang dijangka bermula bulan ini hingga Mac tahun depan kerana kita hadapi banyak ‘kejutan’ hujan lebat.

“Misalnya pada Oktober lalu, Pulau Pinang terima jumlah hujan paling tinggi iaitu sebanyak 290-430 mililiter (ml). Kesemua aset iaitu sebanyak 67 kenderaan di air dan 40 aset darat bersedia digerakkan pada masa yang diperlukan,” katanya di Pejabat APM Negeri, Lorong Ayer Itam di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ishak berkata, sebanyak 241 kawasan panas atau hotspot dikenal pasti berisiko banjir sepanjang musim MTL tahun ini.

“Kita akan fokus kepada kawasan hotspot banjir di setiap daerah antaranya ialah Jalan P. Ramlee di Daerah Timur Laut; Kampung Bukit dan Kampung Seronok, Bayan Lepas di daerah Barat Daya serta Sungai Acheh di daerah Seberang Perai Selatan.

“Selain bersedia dengan beg keperluan asas, APM juga menasihati penduduk supaya cakna dengan suasana atau informasi sahih daripada agensi kaji cuaca seperti MetMalaysia dan media massa.

“Malah orang ramai juga perlu cakna dengan siren amaran banjir di setiap kawasan hotspot kerana masih ramai yang tidak tahu bunyi siren berkenaan sekiranya air berada di peringkat amaran atau bahaya,” katanya.

Lori, pacuan empat roda dan bot antara persediaan logistik APM menghadapi MTL.

Dalam perkembangan sama, Ishak berkata, Op Ramah yang dilaksanakan ketika Monsun Barat Daya sepanjang Mei hingga September lalu diteruskan bagi MTL.

“Ia diteruskan kerana kita nampak keberkesanannya ketika ia dilaksanakan dan APM tempatkan seramai tiga anggota di setiap daerah bagi membuat pemantauan.

“Op itu bukan membabitkan bencana banjir sahaja tetapi secara menyeluruh seperti pencemaran udara, pembakaran terbuka, air buangan sisa toksik, pemantauan air dan sebagainya sebelum lapor kepada agensi terbabit,” kata beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast