KUALA LUMPUR – Pertandingan ratu cantik paling berprestij peringkat akhir di Malaysia, Mrs. Malaysia Globe (MMG) 2023 yang berlangsung di Arena Mega Stars, Sungai Wang Plaza di sini baru-baru ini telah menobatkan dua pemenang bagi dua kategori.
MMG dalam kenyataan memaklumkan, pertandingan yang bertujuan memperkasa wanita dengan meraikan kecantikan, kecerdasan dan bakat itu telah memihak kepada Stephanie Alcantara sebagai johan bagi Kategori Mrs. Malaysia Classique Globe iaitu ratu cantik berusia 45 tahun ke atas.
Sementara itu, Jamie Choong Chin Chin dipilih sebagai juara bagi kategori Mrs. Malaysia Globe.
Alcantra – ibu kepada dua orang cahaya mata perempuan itu juga merupakan antara finalis MMG 2023 yang paling disukai kerana kejelitaan dan aura dimilikinya.
“Saya berhasrat untuk menggunakan platform MMG ini sebagai ruang untuk melakukan sesuatu yang lebih lagi, khususnya dalam bidang paling saya minati iaitu kesejahteraan untuk kanakkanak berkeperluan khas,” katanya.
Tempat kedua hingga kelima bagi kategori Mrs. Malaysia Classique Globe dimenangi oleh Sukhbir Kaur, Michelle Teo, Phang Huey Jiun dan Fennie Lee.
Bagi juara kategori Mrs Malaysia Globe pula, Jamie Choong, MMG memberi peluang kepadanya untuk meneroka sesuatu yang baharu, selain menyerlahkan keyakinan serta keaslian dirinya.
“Bagi saya, kecantikan itu adalah gabungan tarikan fizikal seseorang dan karakter,” katanya yang juga merupakan bekas pramugari syarikat penerbangan Korean Air.
Pemenang tempat kedua sehingga kelima bagi kategori Mrs. Malaysia Globe dimenangi oleh Juliana Khoo, Ivlyn Tan, Erin Tan dan Cynthia Lee.
Bagi acara final MMG tahun ini, ia menampilkan lima segmen menarik iaitu Smashing Stereotype, Dream Big Barbie Style, Femininity at its Finest, Hollywood Glam dan Decoding Dyslexia.
Acara final menampilkan 18 barisan peserta daripada kedua-dua kategori yang memperagakan kemeja-T memaparkan cetakan perkataan kanak-kanak disleksia, sebelum dilelong untuk tujuan kebajikan. – MalaysiaGazette