KUALA LUMPUR, – Kerajaan bersetuju cuti tanpa rekod sempena perayaan Deepavali yang jatuh pada 13 Nov (Isnin) akan dibawa ke 14 Nov (Selasa) bagi pegawai perkhidmatan awam yang menganut agama Hindu di negeri-negeri yang hari kelepasan mingguannya adalah Ahad.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Dr Zulkapli Mohamed berkata perkara itu tertakluk kepada penerimaan oleh pihak berkuasa masing-masing.
“Peruntukan cuti tanpa rekod adalah terikat kepada hari yang dibenarkan sahaja dan tidak boleh dibawa ke hari berikutnya sekiranya cuti tanpa rekod itu jatuh pada hari kelepasan am atau hari kelepasan am mingguan.
Menurut Zulkapli, perkara itu dipanjangkan kepada semua perkhidmatan awam negeri, pihak berkuasa berkanun dan pihak berkuasa tempatan.
Beliau berkata mulai 2018, kerajaan telah memperuntuk cuti tanpa rekod sempena perayaan Deepavali selama sehari iaitu pada hari berikutnya (hari kedua) kepada pegawai perkhidmatan awam yang menganut agama Hindu sebagai tambahan kepada cuti umum Deepavali bagi memberi lebih ruang kepada mereka untuk menyambut perayaan itu bersama keluarga.
— BERNAMA