KUALA LUMPUR – Rakyat Palestin ketika ini dilanyak dan diganyang secukupnya oleh Israel.
Dunia hanya mampu memandang Israel membunuh lebih 10,000 penduduk dan membumihanguskan Gaza dengan mengebom lebih 100,000 bangunan.
Habis rumah, pusat kesihatan, masjid, gereja dan kem pelarian musnah dan hancur. Beratus ribu menjadi pelarian.
Israel berani kerana Zionis mendapat dokongan penuh kuasa besar Amerika Syarikat, Britain dan Kesatuan Eropah termasuk dalam sektor persenjataan.
Senjata peluru berpandu berketepatan tinggi yang digunakan Israel membunuh rakyat rakyat Palestin dibekalkan oleh Amerika Syarikat.
Negara Uncle Sam itu terkini meluluskan penjualan senjata tersebut bernilai RM1.4 billon kepada Israel.
Negara Zionis itu telah membeli senjata sama pada 5 Februari tahun ini bernilai RM1.8 bilion. Bayangkan berapa jumlah simpanan senjata berkenaan yang dimiliki Israel bagi membunuh rakyat Palestin.
Pada ketika ini nampaknya tidak ada apa-apa yang boleh dilakukan oleh masyarakat dunia kecuali terus bersuara.
Suara menjadi senjata bukan sahaja untuk menekan Israel dan sekutunya supaya menghentikan tindakan tidak berperikemanusiaan tetapi juga bagi menyedarkan masyarakat bahaya yang menimpa jika terus berdiam diri terhadap sebarang bentuk kekejaman.
Itulah yang dilakukan Malaysia Gazette dalam menganjurkan forum Suara Malaysia Untuk Palestin yang akan berlangsung pukul 8.30 malam esok di Datum Jelatek Shopping Centre.
Forum itu turut menampilkan Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman sebagai panelis.
Siapa Nadir Al-Nuri? Beliau adalah Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia sebuah pertubuhan yang aktif membantu rakyat Palestin di Gaza yang bagaikan ‘kem tahanan’ yang wujud ketika perang dunia pertama dan kedua.
Beliau menetap di Gaza sejak tahun 2013 dan telah berhadapan secara langsung beberapa siri serangan Zionis terhadap wilayah Palestin itu.
Beliau mempunyai isteri keturunan Palestin, Reem Al-Minawi dan tujuh orang anak yang ketika ini kesemuanya berada di Gaza.
Reem Al-Minawi merupakan balu kepada seorang syahid yang dinikahi beliau pada tahun 2016.
Pada 2014 nyawa Nadir Al-Nuri dan keluarganya hampir beberapa kali tergadai dan paling hampir adalah ketika roket Zionis meledak di sebuah bangunan yang selang satu blok dari kediamannya.
Sebagai bekas mahasiswa Universiti Islam Gaza jurusan syariah, tinggal dan mempunyai keluarga di Gaza, suara Nadir Al-Nuri sudah pasti mewakili suara keseluruhan warga Palestin yang berhadapan dengan pembunuhan beramai-ramai regim Israel.
Sebagai seorang rakyat Malaysia, suara bekas pelajar Sains Marin, Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu turut mewakili berjuta-juta rakyat negara ini dalam menegakkan keadilan untuk rakyat Palestin.
Jauh beribu kilometer daripada isteri dan anak-anak yang berhadapan dengan penghapusan etnik secara besar-besaran Nadir Al-Nuri sudah tentu mempunyai mesej untuk disampaikan dalam forum Suara Malaysia Untuk Palestin.
Penulis buku Anak Melayu Di Palestin Sedekad Di Penjara Terbesar Dunia yang diterbitkan pada 2021 dan Seinci dari Kematian (2022) yang kedua-duanya mengisahkan penderitaan rakyat Palestin sudah tentu dapat melihat cara untuk bumi Palestin kembali damai dan hak yang sepetutnya dikembalikan.
Suara Nadir Al-Nuri dan tiga panelis Suara Malaysia Untuk Palestin, walaupun kecil menjadi senjata yang cukup ampuh menentang kekejaman Israel dan sekutunya.
Orang ramai dijemput hadir bagi menyaksikan forum tersebut secara langsung yang turut menampilkan penerima Anugerah Perdana Mulidur Rasul 2022, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohd. Tahir; Pengarah Eksekutif Mercy Malaysia, Ahmad Faezal Mohamad; dan aktivis kemanusiaan Tai Zee Kin. – MalaysiaGazette