Suhaili Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Melayu Bersatu (Bersatu) telah mengantung keahlian Ketua Bahagian Labuan dan Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman selama enam tahun dari parti tersebut.

Setiausaha agung parti berkenaan Datuk Seri Hamzah Zainudin mengesahkan penggantungan Ahli Parlimen Labuan itu dalam satu kenyataan malam ini.

Katanya, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Lembaga Disiplin Bersatu yang telah bersidang hari ini.

“Jawatankuasa ini bersidang bagi meneliti laporan pelanggaran disiplin dan pelanggaran Perlembagaan oleh Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman (No. Ahli: 00100222), Ahli Parlimen Labuan merangkap Ketua Bahagian Labuan dan Wilayah Persekutuan.

“Setelah diteliti dengan sehalusnya segala bukti dokumentasi, keseriusan kesalahan, implikasi serta impak kepada parti dan juga kenyataan media Shuhaili bertarikh 30 Oktober 2023, Jawatankuasa Lembaga Disiplin mendapati beliau bersalah di bawah Fasal 22.1 (f) Perlembagaan Bersatu,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Sehubungan itu, kata Ketua Pembangkang merangkap Ahli Parlimen Larut itu, Jawatankuasa Lembaga Disiplin sebulat suara menggunakan kuasa di bawah Fasal 22.5 (c) Perlembagaan Bersatu bagi menggantung keahlian Suhaili berserta kesemua jawatan dalam parti yang dipegang beliau untuk tempoh enam tahun berkuatkuasa dari tarikh keputusan dan hukuman iaitu 7 November 2023.

Tindakan ke atas Suhaili menyusul selepas beliau menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

Beliau dalam kenyataan bertarikh 30 Oktober lalu berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambilkira kesemua permasalahan rakyat Labuan yang berdepan dengan kos sara hidup yang semakin tinggi serta gangguan bekalan air dan bekalan elektrik yang berterusan.

Suhaili turut menyatakan sokongan kepada Ketua Menteri Sabah dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Mohd Noor.

“Bagi mengelak sebarang keraguan, saya ingin menegaskan bahawa dengan menyatakan sokongan saya kepada kepimpinan Perdana Menteri dan juga kepimpinan Ketua Menteri Sabah, saya akan terus taat, setia dan kekal sebagai ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu),” kata Suhaili.

Rentetan kenyataan itu, pemimpin itu dilaporkan telah menerima keputusan pucuk pimpinan Bersatu untuk menggantikan beliau dengan naib presiden parti itu, Datuk Dr Radzi Jidin sebagai Ketua Bahagian Bersatu Wilayah Persekutuan dan Labuan.

Suhaili merupakan pemimpin kedua yang digantung keahlian selepas tindakan sama diambil ke atas Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid yang digantung keahlian selama empat tahun kerana menyatakan sokongan kepada Anwar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast