Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying.- Foto MUHD NA’IM, 21 FEBRUARI 2023.

GEORGE TOWN – Siasatan berhubung kes seorang guru sekolah rendah di Balik Pulau di sini didakwa menunjukan kemaluan ketika berada dalam kelas masih dalam siasatan pihak polis.

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, pihaknya sedia maklum berhubung kejadian tersebut namun tiada butiran lanjut memandangkan ia masih dalam siasatan.

“Kes ini sudah dilaporkan kepada pihak polis dan biar mereka jalankan siasatan dahulu. Sekiranya kejadian itu benar berlaku siasatan akan dilakukan di bawah kes gangguan seksual.

“Saya sekali lagi ingin tegaskan bahawa kita tidak akan berkompromi dengan kes-kes sebegini tidak kira ia membabitkan guru mahupun pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian  kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anjung Ketipang Payung di Sekolah Kebangsaan Tan Sri P Ramlee di Jalan Timah di sini hari ini.

Difahamkan, seorang ibu membuat laporan polis pada Isnin lalu mendakwa anakn perempuannya berusia 10 tahun memberitahu ternampak seorang guru lelaki menunjukkan kemaluan ketika berada dalam kelas di sebuah sekolah di Balik Pulau pada 2 November lalu. – MalaysiaGazette