GEORGE TOWN – Kementerian Pendidikan (KPM) berpuas hati dengan kerja-kerja membaiki dan menaik taraf tandas rosak institusi pendidikan termasuk sekolah yang telah berlangsung setakat ini.

Timbalan Menterinya, Lim Hui Ying berkata, kerja-kerja pembaikan tandas diberi perhatian bagi memastikan pelajar dapat belajar dalam persekitaran yang kondusif.

Sehubungan itu, Hui Ying berharap guru dan pelajar di semua sekolah akan menjaga kebersihan serta fasiliti tandas susulan kerajaan telah memperuntukan RM578.02 juta untuk tujuan tersebut.

“Sehingga 31 Oktober lalu jumlah keseluruhan pelaksanaan projek membabitkan 8,020 institusi pendidikan termasuk sekolah dengan jumlah peruntukan RM578.02 juta.

“Secara amnya, sekolah menerima RM70,000 untuk penyelenggaraan tandas manakala institusi pendidikan lain seperti kolej vokasional menerima RM200,000.

“Setakat ini, hanya segelintir sekolah sahaja masih belum selesai penyelenggaraan dan kita berpuas hati dengan hasil tandas yang sudah dinaik taraf,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anjung Ketipang Payung di Sekolah Kebangsaan Tan Sri P Ramlee di Jalan Timah, di sini, hari ini.

Media pada 11 Julai lalu melaporkan KPM memberi tempoh tiga bulan kepada setiap sekolah untuk menyelesaikan kerja penyelenggaraan tandas sekolah demi keselesaan pelajar.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, ketika ini pihaknya dalam proses mengagihkan peruntukan RM70,000 kepada setiap sekolah di seluruh negara. – MalaysiaGazette