Benih Padi Sah (IBPS)

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memulakan Jawatankuasa Bertindak Operasi Benih Sah (OP OBS) Zon Utara selama dua minggu sehingga 21 November kelak.

Jelas KPKM, jawatankuasa tersebut berfungsi untuk memastikan bekalan pengedaran dan penjualan Benih Padi Sah (BPS) mencukupi serta mematuhi harga kawalan runcit baru berdasarkan Perintah Tetap Ketua Pengarah KPB Bilangan 6/2023.

Menurut kementerian berkenaan, jawatankuasa itu melibatkan Kawalselia Padi dan Beras (KPB) di negeri Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Perak.

“KPKM memandang serius berkaitan kekurangan bekalan Benih Padi Sah (BPS) dalam pasaran kerana ia merupakan isu kritikal yang perlu ditangani segera,” kata kementerian tersebut menerusi kenyataan.

Jelas KPKM, pihak yang didapati gagal mematuhi perundangan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522] berhadapan dengan risiko lesen digantung atau dibatalkan serta merta.

Ujar kementerian itu, sebarang maklumat atau aduan berhubung isu mengenai kekurangan bekalan BPS di pasaran boleh dikemukakan di Portal Aduan KPB : https://skpb.kpkm.gov.my/adu atau e-mel Rasmi ( [email protected] ).

Selain itu, aduan juga boleh disalurkan menerusi Hotline Ibu Pejabat KPB Putrajaya 03-88701751/1748/1183. -MalaysiaGazette