Ramkarpal Singh

KUALA LUMPUR – Proses persempadanan semula kawasan pilihan raya di Sarawak telah pun dimulakan tahun ini.

Ia membabitkan kajian yang dibuat oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam tempoh dua tahun, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh.

Menurutnya, persempadanan semula kawasan pilihan raya di Sabah akan bermula 2025, manakala, proses di Semenanjung pula dijadualkan pada 2026.

“Selepas kajian oleh SPR dalam tempoh dua tahun itu, satu laporan yang mengandungi penemuan berkaitan akan dikemukakan kepada perdana menteri.

“Dalam proses itu, banyak faktor akan diambil kira seperti yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat, antaranya sama ada kekadaran itu adalah bersesuaian.

“Kalau kita bandingkan penduduk di Bangi, contohnya lebih kurang 300,000 pengundi berbanding Putrajaya. Ini semua akan diambil kira,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan V. Ganabatirau (PH-Klang) yang melihat demokrasi di negara ini seolah-olah dipermainkan apabila terdapat sesetengah kawasan Parlimen mempunyai jumlah pengundi yang tidak sepatutnya.

Sehubungan itu beliau menggesa kerajaan membuat persempadanan semula dengan memberikan justifikasi terhadap keadilan kepada setiap pengundi bagi menjaga demokrasi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast