KUANTAN – Bomba Pahang berjaya menyelamatkan seorang pelajar perempuan daripada cubaan terjun dari tingkat dua bangunan blok penghuni sebuah universiti di Pekan petang tadi.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada pukul 2.30 petang.
Beliau berkata, enam pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Peramu bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati gadis berusia 19 tahun itu dilihat berada di aras dua bangunan berkenaan.
“Mangsa telah ditenangkan rakannya dan kita membantu menyelamatkan mangsa dengan menggunakan tali penyelamat dan tilam angin penyelamat di bawah bangunan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Zulfadli memaklumkan gadis itu kemudian diserahkan kepada polis bantuan universiti tersebut untuk tindakan selanjutnya. – MalaysiaGazette