KUALA LUMPUR – Dasar bagi memperkasa Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) sedang dirangka, dan ia dijangka dapat dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada bulan Februari nanti.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ketika ini sekretariat TVET negara yang terdiri daripada 10 pakar dalam pelbagai bidang kemahiran sedang merangka dasar berkenaan untuk dibentangkan ke Kabinet bagi mendapat pandangan dan kelulusan.
“Saya sangat serius dalam usaha memartabatkan pendidikan TVET dan akan sentiasa berada di barisan hadapan untuk menterjemahkan matlamat menjadikan lepasan TVET sebagai pilihan utama majikan untuk mendapatkan pekerja mahir.
“Dasar ini kelak akan mencakupi pelbagai perkara termasuk soal gaji dengan antara perkara yang menjadi tumpuan adalah soal gaji minima iaitu lepasan TVET mestilah di atas paras RM3,000 sebulan,” katanya.
Beliau berkata demikan ketika berucap pada majlis penyerahan watikah lantikan Ahli Penasihat Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran dan majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) Program Malaysia-China Youth TVET Training di bangunan Parlimen di sini hari ini.- BERNAMA