KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diingatkan supaya tidak melengahkan sebarang pelaksanaan projek pembangunan yang sudah diluluskan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan melengahkan pelaksanaan projek akan memberi kesan dan kesukaran kepada pelbagai pihak apatah lagi jika ia membabitkan kepentingan pelabur dan masyarakat.
“Sebab itu kita putuskan tadi, selepas dua minggu, saya mahu supaya laporan mesti disampaikan tentang pelaksanaan (projek pembangunan) yang sudah diputuskan tadi.
“Kalau tidak, nanti pihak pengurusan tangguh sampai tahun depan kerana katanya bulan Disember ini bulan yang separuhnya cuti. Saya tak boleh terima dengan kenyataan itu.
“Kalau ambil cuti-cuti juga tapi dalam bulan Disember itu mesti ada laporan berkala kerana kritikan itu kita harus terima dengan baik, jangan tersinggung,” katanya berucap melancarkan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 di sini hari ini.
Hadir sama pada majlis itu Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Kamarulzaman Mat Salleh serta Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Menurut Perdana Menteri, walaupun Malaysia cepat dalam membuat beberapa keputusan berbanding di negara-negara lain seperti Afrika, Latin Amerika dan Asia tetapi masih lagi kalah dengan beberapa negara seperti Vietnam.
Beliau turut berharap agar warga DBKL dapat menjadi contoh dalam menjadikan Kuala Lumpur sebagai Bandar Madani yang memiliki segala infrastruktur dan kemudahan terbaik untuk rakyat di negara ini.
“Pelan ini akan diluncurkan dan saya minta ia tidak muktamad sebagai kitab suci dan masih ada ruang untuk teguran dan kita buat penyesuaian yang perlu mengikut tuntutan masa,” tambahnya. – MalaysiaGazette