Trak yang membawa masuk barangan bantuan kemanusiaan dari pintu Rafah.

GAZA CITY – Gaza menerima kemasukan 106 trak membawa barangan bantuan kemanusiaan semalam yang mengandungi makanan, air dan perubatan.

Menurut Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin, pihaknya turut menerima lima buah ambulans sumbangan Kuwait yang dibawa masuk di pintu Rafah bersempadan dengan Mesir.

“Bilangan lori yang diterima sejak 21 Oktober sehingga saat ini mencecah 756 iaitu bersamaan kira-kira 39 lori sehari,” katanya dalam kenyataan.

Tentera penceroboh Israel bagaimanapun masih tidak membenarkan bahan bakar masuk ke wilayah Palestin yang dikuasai Hamas.

Kekurangan bahan api turut menjejaskan perkhidmatan kesihatan terutama di hospital besar.

Pengurusan Hospital al-Quds misalnya telah memutuskan untuk mengurangkan sebahagian besar perkhidmatan untuk merasionalkan penggunaan bahan api bagi membolehkan perkhidmatan perubatan bertahan selama beberapa hari.

Langkah yang diambil termasuk mematikan penjana kuasa utama dan bergantung kepada penjana kecil, menutup jabatan pembedahan, bahagian MRI dan radiasi serta mematikan mesin oksigen dan bergantung pada silinder oksigen.

Jadual pengagihan elektrik di tiga bangunan hospital telah ditetapkan pada kadar dua jam bagi setiap bangunan setiap hari selepas pukul 5 petang.

Ini bagi memastikan mereka yang kehilangan tempat tinggal mendapat akses kepada perkhidmatan penting iaitu memasak dan mengecas telefon bimbit.

Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin merayu kepada organisasi antarabangsa yang bekerja dalam sektor kesihatan dan bantuan untuk menyediakan bantuan kemanusiaan, keperluan penting, bekalan perubatan dan bahan api ke Hospital Al-Quds dengan segera. – Agensi