KUALA LUMPUR – Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) telah dipilih menjadi mentor kepada Pejabat Pengurusan Alam Sekitar dan Taman Kota Baguio (CEPMO) untuk tempoh 12 bulan menerusi Water Organizations Partnership for Resilience Program (WOP4R) di bawah Bank Pembangunan Asia (ADB).
Program kolaborasi tiga hala itu akan memudah cara pemindahan amalan terbaik, kepakaran dan teknologi melalui pertukaran peer-to-peer, di samping memacu inovasi dalam sistem pembetungan.
Sehubungan itu, satu Memorandum Perjanjian (MoA) kerjasama telah ditandatangani secara rasmi di Ibu Pejabat IWK di sini dan disaksikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Dr. Ching Thoo A/L Kim dan turut dihadiri Pengerusi IWK, Ahmad Johnie Zawawi.
Perjanjian tersebut telah dimeterai antara Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Narendran Maniam; serta Ketua Jabatan II CEPMO Kerajaan Bandar Raya Baguio, Rhenan G Diwas.
Sementara itu, Narendran berkata, IWK merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada ADB dan Kerajaan Bandar Raya Baguio (CGB) atas jalinan kerjasama tersebut.
Menurut beliau, ia seiring dengan komitmen IWK untuk meningkatkan piawaian pengurusan sanitasi dan pembetungan, bukan sahaja di peringkat tempatan, malah turut menyumbang ke peringkat serantau.
“Bagi IWK, ini merupakan peluang berharga untuk berkongsi kepakaran kami dan memperkayakan lagi kualiti kehidupan komuniti sekeliling,” katanya.
Program WOP4R dibiayai Dana Khas ADB Jepun, yang menyokong penuh semua entiti berkaitan air di Asia dan Pasifik untuk menjadi lebih mampan, inklusif dan berdaya tahan.
Inisiatif itu bagi memastikan operator air dan pemain industri lebih bersedia dalam menangani cabaran keselamatan air, termasuk peningkatan perubahan iklim dan risiko bencana
Bandar Raya Baguio merupakan sebuah bandar yang terletak kira-kira 250-kilometer dari Manila dan dikenali sebagai ‘Ibu Kota Musim Panas Filipina’ disebabkan iklimnya yang sejuk memandangkan bandar tersebut terletak kira-kira 1,470 meter di atas paras laut.
Sebagai destinasi pelancongan yang terkenal, bandar tersebut amat mengambil berat tentang integriti alam sekitar dan pembangunan mampan serta mengiktiraf peranan penting sumber air dalam pelbagai aspek tadbir urus tempatan.
Di bawah program WOP4R, ADB, IWK, dan CGB telah membangunkan pelan kerja bersama yang menggariskan satu siri aktiviti merangkumi perundingan jarak jauh, lawatan perkongsian maklumat, perkongsian ilmu, latihan dan pembangunan serta inisiatif-inisiatif lain bersama CEPMO.
ADB sentiasa komited dalam menyokong pertumbuhan Asia dan Pasifik ke arah kemakmuran, inklusif, berdaya tahan dan kemampanan, selain mengekalkan usaha bagi membasmi tahap kemiskinan tegar.
Ia membantu ahli dan rakan kongsinya dengan menyediakan pinjaman, bantuan teknikal, geran dan pelaburan ekuiti bagi menggalakkan pembangunan sosial serta ekonomi.
Kerjasama tiga pihak itu merangkumi komitmen terhadap pembangunan mampan dan kesejahteraan alam sekitar di rantau ini.
Dengan menggabungkan sumber, kepakaran serta dedikasi daripada ketiga-tiga pihak, ia menyasarkan untuk mengubah landskap pengurusan pembetungan di Baguio dan telah menetapkan model untuk diikuti pihak lain.
Pada majlis yang sama, IWK turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM109,223.45 kepada Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) yang diusahakan oleh kerajaan.
Sumbangan tersebut adalah di bawah inisiatif IWK Cares hasil sumbangan pihak syarikat berkenaan dan derma daripada para pekerja.
Replika cek sumbangan diserahkan oleh Ahmad Johnie kepada Dr. Ching Thoo dan majlis ringkas itu turut dihadiri Narendran. – MalaysiaGazette