Foto Instagram Hannah Yeoh.

KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh berkongsi perkembangan terkini padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) apabila melakukan lawatan bersama ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon.

Menerusi Instagram miliknya, Hannah memberitahu, pihak stadium memberi jaminan bahawa padang itu akan bertambah baik menjelang aksi Kelayakan Piala Dunia 2026 minggu depan.

“Setelah mengambil kira pandangan kontraktor rumput dan FAM melalui lawatan tapak bersama dan keadaan padang adalah lebih baik daripada dua perlawanan sebelum ini dan sesuai untuk digunakan (playable), maklum balas ini dipersembahkan  kepada Tunku Mahkota Johor.

“PSM (Perbadanan Stadium Malaysia) akan kekal komited untuk memastikan padang Stadium Nasional berada dalam keadaan terbaik untuk pasukan Harimau Malaya dan terus bekerjasama dengan pihak kontraktor padang bagi mengambil langkah yang sewajarnya,” tulis Hannah.

Turut hadir di lawatan tapak tersebut ialah Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin yang berkongsi pandangannya bersama pihak PSM.

Skuad Harimau Malaya akan memulakan aksi pertama Kumpulan D kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan di SNBJ pada 16 November depan.

Selepas aksi bertemu Kyrgyzstan itu, skuad kendalian Kim Pan Gon itu akan terbang ke Taipei City untuk perlawanan kedua Kumpulan D menentang Taiwan pada 21 November 2023.

Sebelum ini, padang baharu yang menggunakan rumput jenis Zeon Zoysia hasil sumbangan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim itu rosak teruk dan mendapat kritikan hebat ketika saingan Pestabola Merdeka 2023 bulan lalu. – MalaysiaGazette