Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan J. Arul Kumar menunjukkan sebahagian dokumen syarat pada sidang media syarat tambahan pengeluaran lesen perniagaan di Jalan Pantai, hari ini.

SEREMBAN – Pihak berkuasa tempatan (PBT) di Negeri Sembilan menambah beberapa syarat lesen perniagaan termasuk pemilik lesen diwajibkan mendaftar nombor fail Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sebagai proses kelulusan lesen perniagaan masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J. Arul Kumar berkata, usaha itu bagi mengatasi isu warga asing yang menguasai perniagaan terutamanya di Nilai dan Seremban dan mengekang masalah perniagaan Ali Baba di negeri ini.

Beliau berkata, antara syarat tambahan lain ialah setiap premis perniagaan hanya diluluskan menjalankan satu jenis perniagaan dan berkaitan sahaja, pemilik lesen atau peniaga (warganegara) perlu berada di premis setiap masa operasi perniagaan.

“Warga asing tidak dibenarkan bertugas sebagai juruwang, maksimum dua pekerja asing mempunyai permit sah dan bekerja dalam sektor peruncitan dan perdagangan sekitar negeri ini sahaja dibenarkan.

“Pemilik lesen perlu kemas kini senarai daftar pekerja asing dan wajib mempamerkan senarai pekerja mereka di dalam premis dengan maklumat lengkap iaitu nama, warganegara, nombor pasport, jantina dan tempoh permit pekerjaan,” katanya pada sidang media syarat tambahan pengeluaran lesen perniagaan di sini hari ini.

Arul berkata, selain itu pemilik premis perniagaan wajib mempamer nombor cukai pendapatan dan sijil pematuhan cukai dan kesemua syarat berkenaan berkuat kuasa serta merta.

Beliau berkata, impak syarat itu dapat memastikan pemilik perniagaan tidak sewenang-wenangnya menyewakan lesen mereka kepada individu lain terutamanya warga asing dan mengatasi masalah serta aduan peniaga tempatan berhubung lambakan peniaga asing di negeri ini.

Katanya, antara perniagaan yang dimonopoli warga asing adalah peruncitan, perniagaan langsir, karpet, restoran makanan, kedai gunting rambut dan sebagainya.

Arul berkata, bagi penjaja kecil di pasar malam atau pasar tani, warga asing memang tidak dibenarkan berniaga dan pihak PBT akan menyita perniagaan mereka jika didapati menyalahi undang-undang ditetapkan. – Bernama