KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan telah merangka tiga strategi utama untuk menangani masalah harga rumah mahal dan memastikan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkemampuan memilikinya secara tetap.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, projek Perumahan Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) adalah antara agenda teras kementerian ke arah menjaga kebajikan dan kualiti hidup para anggota ATM.
“Malah program ini diilhamkan kerana harga rumah di Kuala Lumpur serta lingkungannya, sudah tidak lagi berada dalam julat kemampuan anggota perajurit kita untuk menyewa apa lagi memilikinya.
“Justeru, bagi mengatasi masalah ini pihak Kementerian Pertahanan telah merangka tiga strategi utama iaitu yang pertama membaik pulih rumah keluarga sedia ada.
“Kedua, membina rumah baru bagi keluarga tentera dan akhirnya membina rumah atas tanah milikan kementerian dan ATM bagi maksud untuk dijual kepada warga tentera dan veteran ATM dengan harga jualan yang jauh lebih rendah dari harga pasaran,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan Majlis Perasmian Projek Perumahan SASaR Wardieburn dan Setapak di Kem Wardieburn, Setapak hari ini.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al’Mustafa Billah Shah turut berangkat mencemar duli dan berkenan merasmikan projek perumahan tersebut.
Tambah Mohamad, selain bermanfaat kepada anggota ATM, keputusan turut dibuat untuk memperluaskan cakupan projek kepada Veteran ATM dan warga kerja awam di Kementerian Pertahanan.
Menurut Mohamad, keputusan itu diasaskan kepada pendirian untuk mengiktiraf sumbangan dan darmabakti mereka kepada bangsa dan negara.
“Oleh yang demikian, semasa sesi pembentangan Bajet 2023, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan bantuan pemilikan rumah mampu milik bagi ATM dengan pembinaan sebanyak 7,374 unit perumahan SASaR ATM.
“Semua ini menepati objektif Pelan Strategik MINDEF 2021–2025 di bawah Teras Ketiga iaitu Pelestarian Kesejahteraan Warga Kerja Pertahanan,” katanya sambil menegaskan pemilikan rumah adalah salah satu agenda penting untuk memastikan kebajikan anggota ATM dan keluarga terbela.
Rumah yang selesa, bukan sekadar suatu keperluan. Ia bukan sekadar tempat berlindung. Ia adalah tempat untuk membangun kehidupan berkeluarga yang berkualiti, katanya.
“Anak-anak warga anggota ATM dapat belajar dengan selesa, keluarga dapat beribadah dengan tenang dan rumah adalah pemilikan yang akan menjadi harta yang bernilai dan bermakna sekaligus membentuk satu ekosistem kekeluargaan yang berupaya menawarkan kehidupan yang bermutu dan bermaruah,” tegasnya. – MalaysiaGazette